JOHOR BAHRU – Seorang pelajar perempuan tetap cekal dan tabah mengulang kaji pelajaran walaupun hidup dalam serba kekurangan demi mengejar cita-citanya menjadi seorang pendidik satu hari nanti.
Siti Aisyah Mohammad Zamri, 19, dari Lorong Setia, Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee berkata, rumah yang didiami bersama ibu dan empat adiknya itu hanya dipasang sebiji mentol malap di dalam bilik pada waktu malam.
Kata pelajar Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gambang, Pahang itu, rumah mereka tiada bekalan elektrik dan hanya mengharap ihsan jiran membuat penyambungan ke rumah mereka.
“Saya diterima masuk ke UIA selepas mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail.
“Komputer riba pemberian ibu saudara sudah rosak dan kini saya hanya guna telefon bimbit untuk belajar. Kekurangan ini menjadi sumber kekuatan saya untuk belajar dan saya anggap ia ada hikmah demi mencapai cita-cita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selasa lalu, Kosmo! melaporkan mengenai kepayahan keluarga Siti Aisyah yang tinggal bersama ibu, Nur Rizan Aman, 46, dan empat beradiknya yang lain.
Nur Rizan tidak bekerja selepas mempunyai komplikasi jantung. Dua adik lelakinya berusia 14 dan 15 tahun masih bersekolah, manakala kakaknya yang menghidap penyakit saraf bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Larkin.
Rumah usang yang mereka diami itu bukan sahaja bocor bumbungnya tetapi hampir roboh dan hanya ditutup dengan kain dan plastik.
Siti Aisyah kini dalam semester tiga bidang Komunikasi Antarabangsa dan akan melanjutkan pengajian peringkat ijazah di kampus UIA Pagoh selepas tamat peringkat asasi.
Buat masa ini, dia hanya belajar di rumah secara online sejak diterima masuk ke program itu bermula tahun lepas sebelum memasuki pengajian secara bersemuka pada bulan depan.
“Tak sabar untuk masuk belajar di kampus sebab belajar di rumah suasananya lain sedikit berbanding secara bersemuka dengan para pensyarah,” katanya.
Keluarga itu sebelum ini dibantu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah selain akan memberi Siti Aisyah komputer riba baharu.