MUSIM bola sepak kali ini semakin hampir sampai ke penghujungnya dan selepas berakhirnya Jun ini, maka jendela perpindahan akan kembali dibuka menyaksikan kelab-kelab bakal bersaing untuk mendapatkan pemain.
Bagi kelab yang kaya, jendela perpindahan sentiasa menjadi saat yang dinantikan untuk mereka mendapatkan pemain-pemain baharu yang menurut mereka mampu untuk meningkatkan prestasi pasukan.
Bagaimanapun, mendapatkan pemain baharu boleh diibaratkan sebagai perjudian kerana tidak semua yang hadir mampu memberi nilai tambah, ada yang belum sempat menyumbang, tetapi sudah mengalami kecederaan, malah ada yang tidak sesuai dengan sistem pasukan dan menjadi liabiliti untuk tempoh yang panjang.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Sukan Antarabangsa (CIES), Manchester United menjadi pasukan yang paling banyak mengeluarkan dana untuk tempoh 10 tahun dalam pasaran perpindahan di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan di dunia.
Berdasarkan kajian, sejak 2012 United telah membelanjakan sekitar £1.3 bilion (RM7.19 bilion) untuk membeli pemain dan hanya meraih £397 juta (RM2.19 bilion) sahaja hasil penjualan pemain mereka.
Menerusi perbelanjaan yang mengatasi jumlah keuntungan, United dianggap pasukan yang paling banyak menanggung kerugian iaitu sekitar £909 juta (RM5.03 bilion) kerana hanya mampu memenangi empat kejuaraan sahaja dengan pelaburan yang dilakukan, malah kemarau trofi sejak 2017.
Selain United di saingan EPL, jiran mereka, Manchester City turut membuat pelaburan besar dengan merekodkan kerugian sekitar £832 juta (RM4.60 bilion), tetapi berjaya meraih 11 trofi untuk tempoh itu.
Arsenal pula menghuni kedudukan ketiga apabila hanya berjaya meraih empat trofi sepanjang tempoh berkenaan ketika mereka berdepan kerugian sekitar £492 juta (RM2.72 bilion).
Sementara itu, Everton (£362 juta-RM2.03 bilion), Aston Villa (£358 juta-RM1.98 bilion) dan West Ham United (£316 juta-RM1.74 bilion) mengalami kerugian menerusi perbelanjaan pada pasaran perpindahan tanpa berjaya meraih sebarang trofi.
Bagaimanapun, Brentford dianggap pasukan yang paling bijak dalam pasaran perpindahan untuk tempoh enam tahun kebelakangan ini apabila mereka meraih keuntungan yang berlipat kali ganda biarpun hanya menggunakan modal yang kecil.
Brentford yang dipromosi ke saingan EPL musim ini hanya mengeluarkan perbelanjaan sekitar £22.4 juta (RM123.96 juta) untuk mendapatkan 23 pemain, namun mereka berjaya meraih keuntungan sebanyak £150 juta (RM830 juta) hasil pemain-pemain ini.
Ollie Watkin yang kini merupakan penggempur utama Aston Villa menjadi pemain yang memberikan keuntungan besar buat Brentford apabila dibeli dari Exceter City pada nilai £6.3 juta (RM34.86 juta) sebelum melengkapkan perpindahan ke Villa Park pada harga £30.6 juta (RM169 juta).