KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat komunikasi tempatan mengalami kerugian sebanyak RM382,517.47 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan mata wang asing.
Ketua Jabatan Siasatan Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, wanita berusia 36 tahun tersebut telah melayari satu laman web pelaburan di luar negara.
“Mangsa kemudian telah diterangkan mengenai latar belakang syarikat pelaburan yang hendak diceburi.
“Syarikat tersebut mengusahakan tiga jenis produk iaitu ‘green agriculture products’, ‘green health industry’ dan ‘green energy industry’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa juga telah diterangkan bekenaan pakej ‘Gold Card’ yang memerlukan modal berjumlah USD150,000 (RM638,314.19) dan dijanjikan keuntungan tiga peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat dalam tempoh tiga minit.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa kemudiannya membuat pelaburan dan diberikan kata pengguna dan kata laluan untuk mengakses rangkaian pelaburan tersebut.
“Sejak 29 Mac lalu sehingga 18 April lalu, mangsa telah membuat 27 kali transaksi berjumlah RM382,517.47 ke dalam enam akaun yang berbeza,” jelasnya.
Tambah Mohd. Mahidisham, mangsa berasa tertipu kerana masih tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan dijanjikan dan masih diminta membuat transaksi tambahan pelaburan lagi.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspasa dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pelaburan yang tidak sah.
“Sebarang maklumat jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599, WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222, semakmule.rmp.gov.my atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE