FILEM ketiga daripada francais Fantastic Beasts iaitu Fantastic Beasts: The Secrets of Dumbledore mula bertemu audiens di Malaysia bermula 14 April lalu. Karya kali ini menyaksikan buat julung kalinya, Mads Mikkelsen menggantikan Johnny Depp untuk watak Gellert Grindelwald.
Terlanjur bercakap tentang Mikkelsen sebagai Grindelwald, pelakon tersebut merupakan pilihan tepat dan paling cocok untuk menjayakan watak villain (jahat) tersebut.
Bahkan buat penulis secara peribadi, jika Mikkelsen melakonkan karakter berkenaan sedari awal penceritaan Fantastic Beasts pun tidak menjadi satu masalah.
Mads Mikkelsen hebat
Maaf buat peminat Depp, tetapi Mikkelsen sebagai Grindelwald sangat berkarisma, elemen villain yang disuntiknya sangat berkesan dan ada kelas tersendiri. Pada masa sama, jangan lupa satu perkara, menonton permainan karakter Grindelwald, kekosongan yang ditinggalkan Depp daripada dua filem terdahulu langsung tidak wujud.
Sungguhpun begitu, Depp semestinya mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam kalangan peminat Wizarding World secara umumnya dan francais Fantastic Beast secara khususnya.
Menyentuh skop yang lebih besar, filem kali ini sebenarnya tiada masalah dari segi jalan cerita. Penulis sendiri tidak berapa mengerti, mengapa banyak komen kurang sedap didengari tentang kualiti trilogi kali ini.
Ramai yang tidak berpuas hati terutama dengan durasi filem yang disifatkan terlalu panjang iaitu lebih dua jam, jalan cerita yang kononnya meleret-leret, babak aksi dan perihal penting lain.
Pada hemat penulis, filem kali ini menepati cita rasa peribadi memandangkan sudah agak lama penonton dahagakan filem tentang dunia magis terutama yang datang daripada dunia ‘Harry Potter’.
Ubat rindu Harry Potter
Dua jam lebih yang diperuntukkan menonton filem ini bukanlah membosankan, namun pada masa sama, tidak juga terlalu menderas adrenalin.
Tetapi secara keseluruhan, momen sebagai penonton dalam tempoh durasi tersebut terisi dengan keseronokan dan rasa rindu menebal terhadap filem begitu dekat dengan dunia Harry Potter.
Dari segi babak aksi, benar bahawa ada beberapa yang lompong dalam filem kali ini, terutama ketika Dumbledore dan Grindelwald bertarung. Faham ramai yang mengharapkan pertarungan antara dua entiti berkenaan sepatutnya menjadi epik, namun itu tidak berlaku dalam filem kali ini.
Bagaimana pertarungan antara mereka berlaku? Itu pengalaman yang penonton sendiri perlu rasai di panggung wayang.
Aksi, CGI kurang menyerlah
Dalam pada itu, dari aspek imej janaan komputer (CGI), kalau diukur berdasarkan markah peratusan, penulis berani memberikan markah lebih 80 peratus biarpun ada segelintir peminat tidak berpuas hati dalam aspek tersebut dan mengatakan tidak melambangkan kualiti jenama Harry Potter mahupun Fantastic Beasts.
Berbalik soal kualiti lakonan, Jude Law sebagai Dumbledore menjayakan karakter tersebut dengan bergaya. Eddie Redmayne sebagai Newt Scamander juga meneruskan kecemerlangan dengan baik.
Pun begitu, karakter baharu bernama Professor Lally yang dijayakan Jessica Williams merupakan antara perkara highlight terpenting untuk filem kali ini. Dengan mudah, watak berkenaan merupakan kegemaran terbaharu penulis dalam francais Fantastic Beasts.
Secara keseluruhan, Fantastic Beasts: The Secrets of Dumbledore merupakan satu lagi karya Wizarding World yang mengubat rindu para peminat terhadap dunia Harry Potter. Ada satu babak pulang ke Hogwarts, itu sangat membekas dalam jiwa audiens.