PETALING JAYA – Perbicaraan kes pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atas pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta, ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas wanita itu tidak hadir bagi memberi keterangan.
Penuntut kolej itu yang juga mangsa dan pengadu kes sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pertama pendakwaan pada perbicaraan yang dijadualkan bermula hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini, dilapangkan.
Syed Shah Iqmal, 27, yang lebih dikenali sebagai Da’i Syed sepatutnya dibicarakan pada 18, 20, 21 dan 22, 25 hingga 29 April dan sehari pada 17 Mei ini.
Sehubungan itu, beliau memohon tarikh bicara pada 17 Mei ini dikekalkan.
Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh memaklumkan pihaknya tiada bantahan tarikh perbicaraan pada bulan ini dilapangkan kerana hak anak guamnya tidak diprejudiskan.
Hakim Jamaludin Mat membenarkan permohonan pendakwaan agar perbicaraan ditangguhkan dan menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan kes.- KOSMO! ONLINE