KOTA TINGGI – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mematahkan cubaan jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan haiwan liar menggunakan sebuah bot jenis fiber di perairan Johor Tenggara lewat malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, seorang lelaki warganegara telah ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan itu melalui jalan laut.
TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan kejayaan itu adalah hasil penugasan Ops Benteng Laut kapal KD Handalan telah mengesan keberadaan sebuah bot fiber yang mencurigakan dalam keadaan bergelap berhampiran Jeti Penumpang Tanjung Pengelih.
“Bertindak atas pengesanan, dua buah bot pemintas TLDM iaitu jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Julong Julong dan RHIB Santi telah diaturgerak bagi melaksanakan pintasan di lapangan dan seterusnya menyiasat kontak curiga tersebut di posisi kira-kira 1.2 batu nautika Tenggara Tanjung Pengelih.
“Kira-kira 10 minit kemudian, tindakan pantas RHIB Julong Julong dan RHIB Santi telah berjaya memintas dan seterusnya menahan bot fiber tersebut,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 120 ekor burung murai batu, 540 ekor burung murai kampung dan 14 ekor ayam sabung dikesan sebagai muatan bot disyaki akan diseludup keluar.
Katanya, bot yang disita bersama penyeludup dibawa ke Jeti Penumpang Tanjung Pengelih dan seterusnya telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
Manakala hasil rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Pahang bagi tindakan selanjutnya.-KOSMO! ONLINE