BARANGKALI tidak ramai yang kenal dengan sepotong nama Anneth Delliecia. Penyanyi berusia 16 tahun asal Indonesia itu belum lagi mencapai peringkat populariti seperti nama-nama besar dalam industri muzik seperti Rossa, Krisdayanti, Raisa atau Bunga Citra Lestari.
Ironi, jika disebut tajuk lagu berjudul Mungkin Hari Ini, Esok Atau Nanti, pasti ramai yang tahu tentang single ‘berhantu’ tersebut.
Tidak hanya berjaya memikat halwa telinga pendengar di Indonesia, lagu tersebut juga jadi siulan di Malaysia.
Kemerduan dan kelunakan vokal juara program Indonesia Idol Junior 3 itu sememangnya mudah membuai perasaan, ditambah pula dengan keunikan lagu Mungkin Hari Ini, Esok Atau Nanti yang begitu mengasyikkan.
Sebenarnya, lagu tersebut bukanlah satu-satunya nyanyian popular yang dilantunkan pemilik nama lengkap Anneth Delliecia Nasution itu.
Namun sudah ditakdirkan, lagu ciptaan sepenuhnya Anneth tersebut mencipta ledakan luar biasa pada penghujung 2020 dengan mencatat lebih 106 juta tontonan dalam YouTube.
Kegagalan
Berbakat. Mungkin itulah frasa paling tepat menggambarkan diri penyanyi kelahiran Balikpapan, Kalimantan Timur itu.
Hakikatnya, sebelum meraih sukses hari ini, Anneth pernah beberapa kali menemui kegagalan ketika menyertai banyak pertandingan nyanyian.
“Saya pernah gagal banyak kali. Sebelum ini saya pernah menyertai Indonesia Idol dan menemui kegagalan. Kemudian saya mencuba nasib dengan menyertai The Voice Kids dan gagal sekali lagi.
“Saya tidak menyerah kerana ada cita-cita yang perlu saya kejar,” ujar penyanyi yang keluarganya berasal dari Medan dan Manado itu.
Sudah menyanyi sejak kecil, Anneth menimba pengalaman pertama dalam pertandingan ketika mengikuti Indonesia Idol Junior musim pertama pada 2014 ketika berusia lapan tahun.
Berjaya melepasi sesi uji bakat, namun Anneth harus akur apabila tidak berjaya melepasi ke peringkat seterusnya, sekali gus meranapkan impian kanak-kanaknya ketika itu.
Tidak berputus asa, Anneth kemudiannya mengikuti pertandingan The Voice Kids pada 2017 ketika berusia 11 tahun dan berjaya kekal sehingga menjadi enam peserta terbaik.
Nasib
Pada 2018, Anneth sekali lagi menyertai pertandingan Indonesia Idol Junior musim ketiga sebelum memikat hati juri apabila menyanyikan lagu Love dendangan asal Keyshia Cole ketika sesi uji bakat.
Ternyata tuah akhirnya menyebelahi Anneth apabila diumumkan sebagai juara dalam pertandingan tersebut sebelum dilamar syarikat rakaman, Rans Entertainment dan muncul dengan single sulungnya berjudul Tetap Untukmu.
“Perjalanan karier seni saya tidak mudah tapi cukup indah dan berwarna-warni. Saya bersyukur dikelilingi insan-insan yang sabar dan tidak pernah lelah,” katanya.
Sejak saat itu, lagu milik Anneth mula digemari pencinta muzik sehinggalah karya mega, Mungkin Hari Ini, Esok Atau Nanti dilancarkan sekali gus meledak sehingga menjadi siulan netizen di Malaysia.
Terbaharu, Anneth bekerjasama dengan penulis dan penyanyi, Ade Govinda dalam projek khas Ade menerusi lagu berjudul Masih Belum Lupa.
Lagu yang ditampilkan dengan rentak balada ditulis berdasarkan pengalaman hidup sebenar Ade tentang perasaannya yang sukar untuk melupakan kisah ‘putus cinta’ yang pernah dilalui.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Anneth sangat gembira dan berbesar hati apabila idola yang selama ini dipuja menawarkan sebuah lagu untuk dinyanyikan.
Kolaboratif
Tanpa berfikir panjang, Anneth terus bersetuju menerima tawaran berkolaborasi bersama Ade sekali gus mengambil kesempatan menimba banyak pengalaman baharu sepanjang menyiapkan lagu Masih Belum Lupa yang disifatkan sebagai sangat mencabar.
“Saya memang sudah lama mengagumi karya-karya Ade seperti Tanpa Batas Waktu yang memang sangat hebat.
“Tapi saya tidak menyangka akhirnya berpeluang untuk berkolaborasi dengannya dalam sebuah projek.
“Dari awal sebelum masuk ke studio untuk rakaman, Ade memberi peluang kepada saya untuk mendengar dan ‘study’ lagu itu terlebih dahulu. Saya akui lagu tersebut merupakan sebuah karya yang sangat bagus, tapi sesi rakaman sangat mencabar.
“Proses rakaman berlangsung sehingga ke malam. Bagi saya Masih Belum Lupa adalah lagu paling susah pernah dinyanyikan,” kata Anneth.
Berkongsi cerita lagi, Anneth juga ‘dipaksa’ mengikut kelas tarian oleh Ade kerana lelaki itu ingin menampilkan kelainan dalam video muzik (MV) Masih Belum Lupa.
Anneth perlu mengikuti kelas tarian kerana Ade mahukan dia sendiri menari dalam MV lagu Masih Belum Lupa.
“Pada mulanya saya sangat terkejut, tapi saya anggap permintaan Ade itu sebagai satu cabaran baharu.
“Inilah masanya untuk saya keluar dari zon selesa dan tunjukkan bakat menari yang dimiliki,” jelasnya.
Ditanya tentang penghayatan lirik patah hati memandangkan usianya masih terlalu muda dan pastinya belum pernah melalui episod putus cinta, Anneth berkata, perkara itu tidaklah terlalu sukar.
Dia hanya perlu menghafal serta memahami lirik yang ingin dinyanyikan.
“Selain itu saya turut merujuk kepada Ade untuk bertanya bagaimana rasa sakit akibat putus cinta. Ade juga menulis lagu ini mengikut kesesuaian usia saya.
“Lagu ini bukanlah sepenuhnya tentang sakit dikecewakan tetapi bagaimana mahu bangkit setelah melalui episod kekecewaan,” katanya.
Bagi Ade sendiri, tiada penyanyi lain melainkan Anneth sebagai pilihannya.
“Ade sebenarnya tertarik dengan vokal ‘husky’ milik pucuk muda penjulang trofi Best Asian Artis dalam Mnet Asian Music Awards atau MAMA 2021 yang berlangsung di Korea Selatan pada Disember lalu.
“Projek lagu ini adalah antara yang terpanjang pernah dihasilkan kerana banyak penambahbaikan dan pengubahsuaian sepanjang perjalanan untuk menyiapkannya,” bicara Ade menutup perbualan.