PETALING JAYA- Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri menyifatkan video lagu raya baru nyanyiannya bakal menyelitkan konsep tarian dengan mengambil inspirasi daripada kreativiti Ratu Pop Dunia, Britney Spears.
Menerusi hantaran di Instagramnya, Aliff berkata, konsep lagu raya itu akan mengambil inspirasi daripada tarian Britney Spears selain menyifatkan lagunya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Anugerah seni, teragung lagu raya nombor satu, konsep tarian Britney Spears. Siapa suka lagu saya sila komen, kamu mesti ‘like’ banyak-banyak, terima kasih awak saya hargai,” tulisnya ringkas.
Sebelum ini, ibu kepada Aliff juga usahawan kosmetik terkenal, Rozita Ibrahim menempelak lagu raya itu dengan meminta anaknya untuk menjaga perasaan malu.
Bagaimanapun, Aliff membalas komen itu dengan menyifatkan penghasilan lagu tersebut sebagai satu bentuk seni yang perlu dihargai oleh semua orang.
Pada masa sama, rata-rata netizen turut bersetuju dengan pandangan dilontarkan Rozita dengan menyifatkan tarian tersebut tidak sesuai khususnya ketika bulan Ramadan.
“Datuk tidak rasa malu ke? Pada bulan puasa buat hantaran seperti ini,” kata Numxn.
“Satu saja mahu cakap, jijik. Bulan puasa tengok video seperti ini, buat malu kaum saja,” selar Botak Sr.
“Bulan puasa ini Datuk, bulan yang mulia. Kalau mahu buat lagu raya jangan buat seperti ini,” kata Syafiqah Hamizah. -KOSMO! ONLINE