PETALING JAYA – Seramai 362 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depoh Sementara Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang awal pagi tadi berjaya ditahan semula.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, gerakan mencari baki tahanan sedang giat dijalankan.
“Mereka melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan besi penghadang. Pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menghubungi Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.
“Gerakan mencari dan menahan mereka yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama dari PDRM, RELA dan orang ramai. Sehingga pukul 10.00 pagi ini, seramai 362 orang tahanan telah berjaya ditangkap semula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Khairul Dzaimee, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan tahanan yang lari terbabit dipohon supaya memaklumkan kepada pihak JIM atau PDRM.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Kira-kira 527 tahanan warga asing di Depoh Sementara Imigresen Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini dipercayai melarikan diri hari ini.
Difahamkan, tahanan berkenaan meloloskan diri dari depoh berkenaan dalam rusuhan kecil kira-kira 4.20 pagi namun kira-kira 100 tahanan dikatakan berjaya ditahan berdekatan Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal. – KOSMO! ONLINE