PETALING JAYA – Pelakon lelaki terkenal Zul Ariffin membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada teman baik yang juga bekas kekasihnya, penerbit filem Gayatri Su-Lin Pillai.
Dalam posting terbaharu di Instagram, Gayatri 46, memuat naik sebuah video menunjukkan kereta mewah berwarna hitam yang dihadiahkan kepadanya.
“Hari ini saya menerima hadiah yang tidak pernah saya terima sepanjang hidup saya.
“Saya kehilangan kata-kata. Sepanjang hidup tidak pernah terbayang saya akan menerima hadiah semanis dan hebat seperti ini. Terima kasih Zul Ariffin dari lubuk hati saya,” tulis Gayatri tanpa memperincikan jenis yang dihadiahkan Zul kepadanya.
Sementara itu, Gayatri turut menerima ucapan tahniah dan emoji berbentuk hati daripada rakan-rakan industri termasuk Nabila Huda, Liyana Jasmay dan Zaliff Sidek.
Selain bersahabat baik, Gayatri adalah individu yang banyak membantu menaikkan karier seni aktor berkenaan terutama dalam dunia perfileman.
Malah, Zul berjaya diangkat sebagai Pelakon Filem Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia tahun lalu menerusi lakonannya dalam filem Sangkar juga sebuah karya terbitan Gayatri.
Mereka berdua mula bersahabat selepas Zul terbabit dengan filem Penanggal arahan Ellie Suriaty Omar pada 2013.
Sejak itu mereka mulai rapat dan sempat menjalin hubungan cinta ketika Zul terlibat dengan filem Bikers Kental juga pada 2013.
Bagaimanapun hubungan mereka tidak bertahan lama dan berakhir selepas tiga tahun bercinta.
Meskipun begitu, gosip cinta antara mereka tidak pernah berakhir apabila Gayatri dilihat masih rapat dengan aktor berkenaan ditambah pula dengan hadiah kejutan terbaharu yang diterimanya itu. – KOSMO! ONLINE