JAKARTA – Satu kajian oleh pemerintah mendapati bahawa hampir semua penduduk Pulau Jawa iaitu kawasan populasi paling padat di Indonesia, mempunyai antibodi Covid-19, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Keadaan itu berpunca daripada kombinasi jangkitan sebelumnya dan vaksinasi terhadap virus Covid-19.
Kajian itu dijalankan pada Mac lalu terhadap sampel 2,100 daripada 150 juta penduduk di Pulau Jawa dan Bali. Ia mendapati sejumlah 99.2 peratus penduduk di Jawa mempunyai antibodi terhadap Covid-19. Peningkatan yang dicatatkan adalah enam peratus berbanding kajian serupa pada Disember tahun lalu.
Seorang ahli epidemiologi Indonesia, Pandu Riono yang melakukan kajian itu bersama kementerian kesihatan memaklumkan bahawa tahap antibodi menerusi penduduk adalah lebih tinggi disebabkan kadar vaksinasi yang meluas.
Bilangan kes harian Covid-19 di Indonesia telah menurun dengan ketara sejak mencatat lonjakan pada Februari lalu yang didorong oleh penularan varian sangat mudah berjangkit, Omicron. Kira-kira 60 peratus daripada sejumlah 270 juta penduduk negara itu telah divaksin.
Pandu berkata, antibodi yang lebih kuat mungkin menjelaskan mengenai kadar penurunan jangkitan Omicron yang pantas Indonesia.
Kajian sebelumnya pada Disember 2021 terhadap 22,000 penduduk dan dijalankan di seluruh Indonesia, menunjukkan 86 peratus rakyat negara itu mempunyai antibodi terhadap Covid-19.
Negara dengan populasi orang Islam tertinggi di dunia itu baru-baru ini melonggarkan sekatan termasuk memansuhkan keperluan kuarantin untuk pelancong asing serta menarik balik larangan dua tahun aktiviti pulang ke kampung (mudik) semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri. – Agensi