MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
KLANG- Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersiap siaga bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dalam daerah Klang pada Sabtu dan Ahad ini.
Yang Dipertuanya, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 10 lokasi kawasan berisiko tinggi berlakunya kejadian itu dengan air dijangka naik sehingga 5.8 meter.
“Mesyuarat jawatankuasa infrastruktur dan kemudahan awam berkaitan fenomena air pasang besar telah diadakan pagi tadi dengan semua pegawai telah diarahkan bersiap sedia bagi
menghadapi fenomena tersebut.
“Kita juga akan mengerahkan seberapa banyak anggota dalam memudahkan segala urusan berkaitan termasuk pemindahan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program sesi temuduga petugas penyelia dan pembanci peringkat Klang di Dewan Serbaguna Telok Gong, di sini hari ini.
Jelas Ahmad Fadzil, pihaknya juga telah menyediakan lima pusat pemindahan kepada penduduk yang akan terjejas nanti.
“Sekiranya diminta berpindah, saya harap pihak penduduk akur dengan arahan yang diberikan demi keselamatan mereka dan keluarganya,” tegasnya. -K!ONLINE