fbpx

Pinda undang-undang untuk lindungi kanak-kanak – TMJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Ismail (tengah) mengadakan pertemuan dengan Rina Harun (dua dari kanan) bagi membincangkan isu melibatkan kanak-kanak OKU, Bella.

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan agar penambahbaikan terhadap undang-undang semasa khususnya melibatkan Akta Kanak-Kanak 2001 dilakukan segera bagi mengelak kejadian menimpa kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) Down Sindrom iaitu Bella berulang.

Titah baginda, penambahbaikan itu perlu dilaksanakan di peringkat pindaan undang-undang bagi membolehkan akta berkenaan benar-benar mencapai matlamatnya.

“Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian setelah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, hari ini.

Tambah baginda, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu meningkatkan aspek penguatkuasaan dengan mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada.

“JKM perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan yang tidak berdaftar atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.

“Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” tegasnya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut meminta satu kajian dilakukan segera mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak ditauliahkan bersama-sama dengan penglibatan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan institusi-institusi bebas lain.

“Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera,” titah baginda lagi.

Tunku Ismail turut menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik.

Kisah Bella, 13, mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia apabila dia didakwa didera dan diabaikan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31.

Mahkamah sebelum ini mengenakan dua pertuduhan Siti Bainun iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI