LEICESTER – Pengendali Leicester City, Brendan Rodgers menyeru agar perancang utama pasukan, James Maddison untuk tampilkan prestasi lebih konsisten agar dapat kembali dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan England selepas ini.
Sebagai rekod, Maddison telah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri musim ini selepas meledak 14 gol dalam semua kejohanan, ketinggalan hanya di belakang dua pemain antarabangsa England, Harry Kane (Tottenham Hotspur) dan Tammy Abraham (AS Roma).
Kata Rodgers, pemain berusia 26 tahun itu cukup bermotivasi untuk mengekalkan rentak positif kerana mahu menyarung jersi The Three Lions selepas kali terakhir dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Gareth Southgate tiga tahun lalu.
“Saya lihat Maddison antara pemain kelahiran England yang konsisten musim ini kerana dia bekerja keras sejak awal musim dan sudah tentu bakal mengejutkan semua pihak andai dia tidak berada dalam radar untuk mewakili skuad kebangsaan pada masa akan datang. Bakat dan kemampuannya sangat diperlukan oleh England untuk mengharungi aksi Qatar nanti.
“Tiada apa lagi yang perlu dibuktikan oleh Maddison kerana kini pilihan terletak di tangan Southgate. Apa yang pasti, saya bukan mahu menafikan pemain-pemain kelab lain, tetapi Maddison wajar diberikan peluang untuk ke Piala Dunia nanti berdasarkan persembahannya bersama Leicester musim ini,” katanya. – AGENSI