MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberi bayangan bakal merombak kesebelasan utama menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton dalam usaha mengekalkan kedudukan pendahulu musim ini.
Kata Guardiola, jadual padat yang diharungi oleh pasukannya sejak awal bulan ini memaksa dirinya membuat percaturan terbaik bagi memastikan hanya pemain yang cergas diturunkan bagi memastikan harapan untuk mengekalkan kejuaraan EPL dapat direalisasikan.
“Saya rasa kita sudah boleh lupakan kekalahan pada aksi separuh akhir Piala FA yang lepas dan memberi tumpuan penuh untuk saingan EPL menentang Brighton nanti. Kemungkinan besar saya akan menukar formasi dan pemain dalam kesebelasan utama.
“Ini kerana, kami mengharungi jadual padat sehingga ada dalam kalangan mereka tidak cergas sepenuhnya ekoran kecederaan seperti Ruben Dias dan Aymeric Laporte. Saya optimis siapa sahaja yang diturunkan boleh membantu pasukan kembali berada di landasan kemenangan,” katanya.
Sementara itu, perancang utama City, Jack Grealish menyeru agar rakan-rakan sepasukan bangkit dengan melupakan kekalahan kepada Liverpool pada aksi separuh akhir Piala FA dengan memberi keutamaan kepada kempen EPL dan separuh akhir Liga Juara-Juara yang bakal diharungi nanti.
“Kita perlu terima hakikat bahawa pasukan tidak boleh menjulang semua kejuaraan tetapi saya yakin ada sinar buat pasukan pada baki dua kejohanan yang kita akan tempuhi sehingga penghujung musim nanti.
“Bagi saingan menentang Brighton, saya harap kami dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dan terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu liga ketika saingan hanya berbaki tujuh perlawanan,” kata pemain antarabangsa England itu. – AGENSI