Marine Le Pen. Ada apa dengan nama tersebut. Namanya agak asing kepada rakyat Malaysia tidak seperti Vladimir Putin, Volodymyr Zelenskyy atau Joe Biden.
Namun, empunya nama tersebut dikatakan bakal mencipta sejarah.
Pemimpin ultranasionalis berumur 53 tahun itu memiliki peluang agak cerah untuk menggulingkan Emmanuel Macron dalam pusingan kedua pilihan raya Presiden Perancis yang akan diadakan lewat April ini.
Sekiranya Macron kecundang, Le Pen akan dinobatkan sebagai Presiden wanita pertama Perancis, sekali gus mengatasi pencapaian Edith Cresson yang pernah memegang jawatan Perdana
Menteri pada tahun awal 1990-an. Bagus bukan? Namun, kepada umat Islam, jawapannya tidak sama sekali.
Ini kerana perjuangan Le Pen dan parti pimpinannya, Perhimpunan Nasional, adalah bersandarkan kepada doktrin ‘hidup sekular jika mahu menetap di Perancis’, manakala agama bersifat privasi dan persendirian.
Bahkan, Le Pen tidak berselindung tentang pendiriannya yang jelas bencikan imigran dan anti-Islam.
Pemimpin tersebut membuat janji kontroversi bagi meraih sokongan pengundi kulit putih baru-baru ini. Kemenangannya, kata Le Pen, bakal menyaksikan pelaksanaan peraturan mendenda wanita Islam yang memakai tudung di tempat awam. Perbuatan tersebut akan dianggap sebagai kesalahan, sama seperti tidak memakai tali pinggang keledar.
Perancis sudah lama mengamalkan dasar sekularisme iaitu pemisahan agama dan negara tetapi Le Pen membawa aturan itu ke peringkat yang lebih ekstrem.
Sekiranya Le Pen dipilih sebagai Presiden Perancis, pendirian sebenar dan sikap hipokrit negara itu yang sebelum ini mendabik dada sebagai pendukung demokrasi, liberalisme dan kebebasan agama akan terserlah.
Hakikatnya, dasar Perancis tentang orang Islam tidak ubah seperti negara komunis yang jauh sekali meraikan apa jua agama dan perkara ini akan terserlah sekiranya Le Pen mentadbir negara.
Doktrin dan pandangan beliau terhadap orang Islam khususnya wanita sememangnya sudah dijangka. Wanita adalah golongan pertama yang akan dijadikan sasaran kerana mereka adalah tunjang keluarga dan masyarakat.
Sebelum ini, di bawah pimpinan Macron, pelajar perempuan tidak dibenarkan bertudung di sekolah, namun beliau masih menghormati hak dan cara hidup mereka.
Impak kemenangan Le Pen adalah besar kerana hijab adalah elemen penting dalam Islam. Wanita Islam diperintahkan untuk menutup aurat dan Le Pen pula menganggap hijab sebagai kemunduran.
Malang menanti sekitar lima juta umat Islam di Perancis sekiranya Le Pen terpilih sebagai Presiden negara itu.