BARCELONA – Rekod tanpa kalah Barcelona dalam 15 perlawanan La Liga berturut-turut akhirnya lebur apabila tewas mengejut 0-1 kepada pasukan bawahan, Cadiz di Camp Nou awal pagi semalam.
Lebih malang, kekalahan itu secara tidak langsung menyukarkan Barcelona untuk mengejar pendahulu liga, Real Madrid yang kini berkelebihan 15 mata dengan baki tujuh perlawanan sahaja lagi.
Ia juga adalah kekalahan kedua berturut-turut The Catalans selepas terdahulu dikejutkan 2-3 oleh Eintracht Frankfurt sehingga menyebabkan mereka tersingkir daripada peringkat separuh akhir Liga Europa.
Ketua Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez amat kecewa dengan prestasi barisan pemainnya kerana gagal menjaringkan gol ke atas Cadiz yang berada di tangga ke-16 ketika ini.
“Kami membuang peluang keemasan untuk menjarakkan diri dengan pasukan-pasukan lain supaya tidak perlu bersaing merebut slot ke Liga Juara-Juara.
“Kami hampir-hampir mengucapkan selamat tinggal kepada saingan La Liga pada awal musim. Kami perlukan yang lebih bagus kerana ini adalah Barcelona.
“Saya harap pemain bangkit dan memberikan aksi terbaik mereka dalam baki perlawanan musim ini. Mereka perlu terus percaya kami boleh kembali ke pentas Liga Juara-Juara,” katanya.
Sebagai rekod, Barcelona dikecewakan di laman sendiri menerusi gol tunggal penyerang Cadiz, Lucas Perez pada minit ke-48. – AGENSI