KAJANG – Seorang warga emas mualaf terpaksa melupakan hasratnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini kerana terpaksa menjalani rawatan kemoterapi susulan pembedahan kanser usus baru-baru ini.
Soh Mei Lee atau Amirah Abdullah, 69, yang berasal dari Seremban disahkan menghidap penyakit kanser tahap tiga itu sejak November tahun lalu.
Menurut Amirah, pergerakannya juga mula terbatas kerana mengalami pelbagai masalah kesihatan melibatkan tangan dan bahagian belakang serta memiliki penyakit batu karang.
“Sekarang saya perlu menjalani 14 kali rawatan kemoterapi pada hari raya nanti dan satu pembedahan di tangan. Selain itu, saya juga kena buat computerized tomography (CT) scan di bahagian kepala dan perut.
“Saya akui memang sedih tidak dapat menyambut raya bersama suami tahun ini, namun semua ini adalah ujian buat saya,” katanya ketika ditemui di Jalan Masjid Kampung Sungai Ramal Luar di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Amirah, dia yang baru berkahwin dengan Mohammad Ho Kong Wah Abdullah, 70, pada 4 Februari lalu bersyukur kerana mempunyai seorang insan yang sanggup menemaninya ketika ini.
“Sebelum ini saya hidup sebatang kara. Hidup saya mengalami pelbagai kesulitan kerana pendirian agama saya.
“Selepas itu, saya dan suami menerima bantuan daripada Masjid Sungai Ramal Luar bagi mendapatkan tempat tinggal yang lebih sesuai dan mereka juga yang sarankan kami untuk berkahwin,” ujarnya.
Amirah berkata, suaminya yang bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan sebanyak RM900 sebulan juga menghidap penyakit jantung dan memerlukan penjagaan rapi.
Tambahnya, dia telah menerima bantuan daripada pihak zakat untuk sewa rumah sebanyak RM600 serta bantuan sara diri sebanyak RM300.
“Namun, jika ada bantuan lain, kami perlukan lampin dewasa selain ubat-ubatan untuk penyakit jantung suami,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Soh Mei Lee atau Amirah Abdullah 164360590266 atau menghubunginya di talian 016-960 0545.