KARACHI, Pakistan – Seorang lelaki Pakistan digelar ‘Tarzan of Karachi’ kerana tinggal lapan tahun di dalam pondok yang dibina di atas sebatang pokok di bandar raya itu, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Farman Ali, 28, menjadi sensasi di media sosial selepas rakaman yang memaparkan rumah pokok itu tular di media sosial beberapa minggu lalu.
Selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia, Farman menjadi amat miskin dan tidak mampu menyewa kediaman konvensional.
Dia yang hidup sebagai gelandangan, kemudian memutuskan untuk membina rumah sendiri di atas sebatang pokok di kawasan awam supaya tidak diganggu atau dihalau oleh sesiapa.
Farman menyara hidupnya dengan mengambil upah mencuci kereta, menyapu dan membersihkan kawasan luar rumah penduduk serta mendapatkan barangan dapur untuk mereka.
Ramai pelanggan membayarnya dengan air sejuk dan makanan. Upah yang diterima hampir tidak mencukupi untuk menampung keperluan hariannya sehingga dia tidak mampu untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa.
Menurut agensi berita Ruptly, Farman pernah mengetuk pintu rumah saudara-maranya untuk mendapatkan bantuan tetapi tiada siapa mahu membantunya.
Dia memutuskan untuk membina rumah pokok dengan menggunakan bulu, kayu, pintu lama dan kain untuk melindungi diri daripada angin dan hujan.
Selain mempunyai katil, dia berjaya mendapatkan sinki untuk mencuci muka pada setiap pagi, ketuhar kecil untuk memasak dan memanaskan air, lampu kecil berkuasa bateri serta pengecas untuk telefon. – Agensi