KOTA BHARU – Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengagihkan zakat dan fidyah kepada golongan asnaf, fakir miskin termasuk anak-anak yatim sebanyak RM770,300 pada tahun ini.
Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 100 peratus berbanding agihan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM300,000.
“Mereka yang layak menerima zakat dan fidyah ditentukan mengikut kriteria dengan pemilihan yang dikenal pasti oleh imam di setiap mukim dan jajahan masing-masing.
“Kita dapati jumlah agihan zakat meningkat pada tahun ini begitu juga dengan penerima yang mendapat wang tunai antara RM300 hingga RM500 seorang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengurniaan Sumbangan Zakat dan Fidyah Kepada Asnaf Fakir, Miskin dan Anak Yatim di Masjid Muhammadi di sini, hari ini.
Hadir sama, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab. Rahman.
Pada majlis itu, sebanyak RM580,000 daripada jumlah keseluruhan agihan RM770,300 diagihkan kepada penerima di 17 mukim masjid bandar jajahan di negeri ini.
Tambah Tengku Mohamad Rizam, agihan akan dibuat mengikut kelayakan selain untuk membantu pendidikan anak-anak yatim mengikut keperluan mereka. – KOSMO! ONLINE