fbpx

Pernah diugut, Iesya Toh takkan henti suarakan isu rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IESYA TOH

PETALING JAYA – Pengacara Iesya Toh tidak akan berhenti menyuarakan pandangan berhubung sebarang isu demi kepentingan masyarakat, ekonomi dan kesejahteraan negara biarpun pernah berdepan bermacxam ugutan.

Katanya, pengaruh kuatnya dalam laman sosial, terutama Instagram selain pengalaman sebagai hos Selamat Pagi Malaysia (SPM) mendekatkan dirinya dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk peringkat atasan akan digunakan sebaik mungkin bagi membantu orang lain.

“Saya jenis yang cepat sensitif dan pantang tengok kesulitan orang. Malah bidang tugasan sebagai hos SPM dahulu membuka mata saya mengenai situasi semasa terutama membabitkan insan lain.

“Apabila tidak lagi bersama program pagi itu, saya masih ingin berkongsi informasi dengan khalayak. Jadi cara paling menyeluruh dengan hebahan informasi lebih meluas adalah menerusi laman sosial.

“Selain maklumat dan hal ehwal semasa, saya juga sentuh isu jenayah dan sebagainya yang selalu juga meraih perhatian menteri dan pihak berkaitan. Kita bangkitkan sesuatu isu bukan mahu memburukkan sesiapa, tapi lebih kepada penambahbaikan.

“Sebelum ini pun saya pernah diugut berkaitan beberapa isu panas seperti kes along dan penggubahan wang haram. Walaupun terus membangkitkan isu berkenaan, saya ambil langkah berjaga-jaga,” katanya kepada K! Online.

Pelakon filem Tangkai Jering itu ditemui pada majlis penyerahan hadiah kepada juara pertandingan Move It Lose It yang juga pengguna Magika Gel, Nor Diana Abdul Karim, baru-baru ini.

Pada masa sama, Iesya atau nama sebenar Nor Iesyatirradiah Sanny Toh mengakui terbit ilham untuk mengeluarkan produk penjagaan kecantikan sendiri bermula dengan Memoonchak bagi menampung kegiatan kebajikan (CSR) yang dilakukan.

Katanya, pada awal dulu dia menggunakan duit simpanan selain meminta sumber kewangan daripada suami terutama untuk membayar kos melahirkan di hospital swasta untuk remaja terlanjur bermula pada 2015.

“Apabila saya sudah meninggalkan SPM dan kemudian berhijab, tawaran mengendalikan acara serta lakonan berkurangan. Apa pun ketika itu saya fokus terus kepada kerja amal.

“Namun untuk terus bergerak saya perlu duit. Dahulu selain SPM, saya dapat rezeki tambahan dengan berlakon, menyanyi dan diundang mengacarakan majlis. Duit itu saya gunakan tolong remaja terlanjur atau program babitkan ibu tunggal dan anak yatim.

“Apabila sudah berkahwin, saya minta dana daripada suami. Kiranya suami pernah membiayai kos bersalin di hospital swasta untuk tiga bayi tanpa bapa.

“Jadi saya terfikir sampai bila nak guna duit suami kerana keluarga kami pun semakin membesar. Dari situ saya hasilkan Memooncak dan disusuli krim sapu pemecah lemak Magika Gel. Pendapatan dari situ saya salurkan untuk CSR,” katanya lagi.

Sepanjang menjalankan kerja kebajikan membabitkan remaja yang hamil luar nikah, seramai 23 orang dibantu Iesya dari sebelum bersalin hingga ke fasa berpantang jika tiada ahli keluarga terdekat atau tanpa penjaga.

Dalam kesibukan mengendalikan kerja CSR dan menguruskan keluarga, ibu kepada tiga cahaya mata ini kembali ke kaca televisyen menerusi program Bijak Urus Wang siaran RTM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI