PETALING JAYA – “Tolong respect (hormat) orang lama. Ini dah masuk kali ketiga kau buat macam ini!”
Demikian amarah yang dilemparkan pelakon Fezrul Khan akibat hilang sabar mendepani perangai seorang pelakon perempuan dalam kalangan Budak Baru Nak Up (BBNU) susulan kegagalan hadir ke lokasi penggambaran pada saat akhir tanpa alasan munasabah sehingga menyusahkan orang lain.
Kata Fezrul atau nama sebenarnya Fezrul Khan Junaidi Khan, perkara tersebut bukanlah pertama kali berlaku, bahkan sudah masuk kali ketiga pasukan produsi termasuk dirinya membazir waktu disebabkan sikap pelakon baharu terbabit.
“Bukan sekali dua dia buat begitu. Macam-macam alasan dia gunakan untuk beritahu dia tak dapat hadir ke lokasi penggambaran.
“Benda ini betul-betul susahkan orang lain. Dia macam langsung tak hormat kru produksi dan barisan pelakon lain yang terpaksa menunggu lama disebabkan perangainya itu,” katanya.
Terdahulu, Fezrul, 40, turut berkongsi apa yang dirasai dalam Instagramnya agar menjadi iktibar buat semua pelakon baharu.
“Orang lain pun banyak job (kerja) juga, tapi tak ada tamak macam kau. Semua kerja kau ambil sampai menyusahkan semua artis.
“Kau dah tahu ada scene (babak) hari ini tapi kau tak datang lokasi, apa lagi alasan kau nak bagi. Ni dah masuk tiga kali.
“Kau BBNU lagi. Lakonan kau pun belum sampai level (tahap) aku!,” tulisnya.
Fezrul bagaimanapun tidak memperincikan judul serta syarikat produksi drama melibarkan pelakon baharu bermasalah terbabit.- KOSMO! ONLINE