fbpx

Aneka siput, kerang laut hidangan popular selepas tarawih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja di kedai Mak Siti Seafood menyediakan pelbagai jenis kerang dan siput di Nibong Tebal, Seberang Perai semalam.

SEBERANG PERAI – Hidangan unik berupa pelbagai jenis siput dan kerang laut menjadi menu pilihan orang ramai sebagai snek waktu malam sepanjang bulan Ramadan di kedai Mak Siti Seafood di Kampung Sungai Setar Kechil, Nibong Tebal di sini.

Antara yang menjadi tarikan termasuklah kepah, kerang, lokan, siput gayam, siput sudu, siput duri, siput gerudi, siput manis dan siput unam yang direbus.

Menurut pengusahanya, Nur Hayati Hassan, 56, perusahaan yang dijalankan lebih 30 tahun lalu itu membuatkan Nibong Tebal popular dalam kalangan warga tempatan dan dari seluruh negara bagi menikmati juadah berkenaan.

“Antara paling menjadi tumpuan adalah siput duri dan lokan yang dinikmati bersama kuah kacang resipi istimewa kami atau air asam.

“Ia juga terhad kerana kami menawarkan menu ini pada waktu malam di bulan Ramadan sahaja iaitu beroperasi antara pukul 8.30 malam hingga 2 pagi,” katanya ketika ditemui semalam.

Ujar Nur Hayati, dengan dibantu 30 pekerja, sebanyak lapan jenis kerang dan siput seberat kira-kira 850 kilogram (kg) disediakan di kedainya setiap hari bersama kira-kira 30 kg kacang sebagai sos pencicah.

Sementara itu, pengunjung, Abdullah Mahyudin, 27, berkata, ia merupakan pengalaman pertamanya menikmati pelbagai jenis kerang yang tidak pernah ditemui di tempat lain sebelum ini.

“Kebiasaannya saya jumpa banyak tempat menjual hidangan kerang biasa, tetapi kali ini dapat cuba sendiri pelbagai jenis kerang dan siput dengan kombinasi kuah kacang sedap.

“Apa yang paling penting, kerang-kerang ini dicuci dengan bersih sebelum direbus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI