ALOR GAJAH – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi masing-masing bertembung di Jalan Kuil Pengkalan di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, mangsa, K. Mahendran, 40, maut di lokasi, manakala pekerja kilang, Mohd. Akmal Razali, 34, di kejarkan ke Zon Merah Hospital Alor Gajah selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa OKU yang menunggang motosikal jenis Honda Wave berwarna biru disyaki memasuki laluan bertentangan menuju ke arah Pengkalan.
“Setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa telah bertembung dengan sebuah motosikal jenis Honda berwarna merah ditunggang seorang pekerja kilang yang menuju arah Alor Gajah.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci maut di lokasi, manakala seorang lagi parah di kepala dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Alor Gajah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan awal, punca kemalangan adalah disyaki akibat kegagalan mengawal motosikal.
“Saksi bebas di tempat kejadian diminta tampil membantu siasatan kerana kawasan tersebut tidak mempunyai rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan pemeriksaan di lokasi hanya menjumpai pecahan kenderaan di atas permukaan jalan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE