BALIK PULAU – Tindakan licik tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran syabu dan ketum di kawasan Bayan Baru di sini akhirnya memakan diri apabila diberkas polis di dua lokasi berasingan hari ini.
Tangkapan ke atas seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu dilakukan Ketua Polis Balai Bayan Baru, Asisten Superintendan Salim Emin menerusi operasi Ops Tapis Khas yang dijalankan di Persiaran Mahsuri.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek diberkas ketika memandu sebuah kereta seorang diri dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 1.50 pagi tadi.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis telah menemui satu peket plastik berisi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 6.16 gram di dalam beg silang suspek.
“Dalam pada itu, dua lagi tangkapan dilakukan dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Tun Dr Lim Chong Eu Ahad lalu kerana memiliki lima bungkusan disyaki air ketum yang diisi di dalam plastik sampah berwarna hitam,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE.