PETALING JAYA – Selepas drama 16 episod Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti berakhir Khamis lalu, nama drama tersebut terus menjadi sebutan.
Karya Sabri Yunus itu menjadi fenomena baharu kepada peminat-peminat drama tempatan kerana jalan ceritanya cukup berlainan dengan kebiasaan drama-drama Melayu lain.
Terkini, tular di media sosial berkenaan akaun palsu yang menggunakan nama besar Pok Ya Cong Codei yang dibimbangi individu tidak bertangungjawab terlibat mengambil kesempatan.
Sabri Yunus melalui Facebooknya sebentar tadi turut mengesahkan nama-nama akaun lain yang menggunakan nama Pok Ya Cong Codei adalah bukan miliknya.
“Ini bukan saya, jangan percaya pada ini. Saya tak akan guna nama Pok Ya Cong Codei dan tak pernah guna.
“Ertinya kalau guna nama tu adalah bukan saya. Begitu juga yang pakai nama Sabri Yunus itu juga bukan saya.S aya tidak bertanggungjawab atas page atau FB ini.
“Harap orang ramai jangan layan, buang masa saja, kalau ada yang tak betul atau mengarut, saman saja page ini. Saya akan buat report, ” jelasnya.
Sabri juga menasihati orang ramai untuk turut membuat aduan sekiranya terdapat perkara yang meragukan.
“Orang ramai juga boleh buat aduan, takut kalau kalau disalah guna nama ini, mana tahu akan datang, ” jelasnya. – KOSMO! ONLINE