JEMPOL – Polis tidak menolak kemungkinan mayat yang ditemui rentung dalam Proton Wira yang terbakar di Kampung Taman Jaya, di sini awal pagi ini adalah pemilik kereta berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, siasatan lanjut bagaimanapun masih lagi dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa selain, punca kebakaran.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kereta itu dimiliki lelaki dikenali R Ramasamy berusia 42 tahun dari Ladang Kok Foh, Bahau.
“Siasatan awal di tempat kejadian juga tidak menemui unsur khianat dan forensik bomba dengan menggunakan khidmat anjing pengesan menjumpai kesan bahan bakar di tempat pemandu dan bahagian luar hadapan kereta.
“Jenis bahan bakar masih belum diketahui dan sampel sudah diambil untuk analisa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – KOSMO! ONLINE.