PEMAIN perseorangan wanita negara, Myisha Mohd. Khairul kini menempa nama sebagai bintang dalam pembikinan buat arena badminton negara selepas menjuarai Siri Antarabangsa Belanda di Wateringen kelmarin.
Kejayaan itu hadir selepas Myisha berjaya menewaskan rakan senegara, Siti Nurshuhaini Azman 21-19, 18-21, 21-19 dalam aksi final sengit selama 70 minit.
Myisha, 19, yang ketika ini di ranking ke-328 dunia, berharap kejayaan itu mampu menjadi batu loncatan untuk meraih lebih banyak kejuaraan selepas mendakap gelaran antarabangsa senior pertama dalam kariernya.
“Kami sudah banyak kali berlawan sesama sendiri kerana berlatih bersama. Kami berdua juga tahu cara permainan masing-masing, sebab itu perlawanan menjadi sengit dan rezeki saya untuk menang.
“Saya langsung tak jangka dapat memenangi kejohanan ini. Saya anggap podium pertama ini sebagai pembakar semangat untuk mengekalkan momentum ini dalam pertandingan seterusnya.
“Saya amat bersyukur dan menganggapnya sebagai titik permulaan supaya saya dapat mengorak langkah lebih jauh selepas ini,” kata pemain yang mesra disapa dengan gelaran nama Caca itu.
Myisha mendapat ‘durian runtuh’ apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan ganjaran bernilai RM10,000 daripada Kerajaan Johor atas kejayaannya itu.
Ia sudah tentu menjadi tonik terbaik buat Myisha yang akan beraksi bersama skuad negara dalam saingan Piala Uber di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei depan.