JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun esok.
Pertemuan berkenaan bertujuan untuk membincangkan soal pembelaan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) Down Sindrom iaitu Bella yang sedang dibicarakan ketika ini.
Tunku Ismail berkenan memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan ringkas yang dimuat naik di laman sosial Twitter miliknya, hari ini.
“Esok saya akan berjumpa dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membincangkan isu kes Bella dan mendapatkan taklimat terkini mengenai langkah-langkah yang telah diambil kementerian untuk memastikan kes sebegini tidak akan berlaku lagi,” titahnya.
Semalam, Rina memaklumkan pihaknya akan menghadap Tunku Ismail dan Yang Amat Mulia Che Puan Besar Khaleeda Bustamam bagi mempersembah status perbicaraan kes penderaan Bella.
Rina berkata, kementeriannya sedia bekerjasama dengan peguam baginda bagi membantu kes prosiding penderaan remaja perempuan itu.
Menurutnya, titah Tunku Ismail yang mahu menawarkan khidmat peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian untuk kes ini amatlah bermakna. – KOSMO! ONLINE