MANCHESTER – Manchester United mengambil keputusan untuk sanggup membayar sebahagian besar gaji penjaga golnya, Dean Henderson yang akan meninggalkan mereka untuk menyertai pasukan pinjaman musim panas ini.
Henderson gagal mendapat banyak peluang musim ini apabila hanya membuat tiga penampilan dalam semua kejohanan menyebabkan dia bersedia untuk mencari kelab baharu yang mampu memberinya peluang lebih kerap.
United yang enggan melepaskan khidmatnya terpaksa bersetuju untuk membenarkannya meninggalkan kelab itu tetapi hanya dengan status pinjaman dan sanggup membayar sebahagian besar daripada jumlah gaji diterimanya.
Ketika ini, tidak ada kelab yang mahu meminjam khidmatnya yang menerima bayaran gaji sebanyak £120,000 (RM664,000) seminggu selepas menandatangani kontrak baharu pada musim panas 2020 lalu.
Setakat ini, beberapa pasukan seperti West Ham United serta dua pasukan dari Liga Kejuaraan, Fulham dan Sheffield United menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Henderson.
Laporan turut menyebut bahawa Newcastle United juga sudah bersedia dengan dana untuk membawa masuk pemain berusia 25 tahun ini ke St. James Park.
Pengurus The Magpies, Eddie Howe percaya bahawa bidaan bernilai £40 juta (RM221.54 juta) musim panas nanti mampu membuatkan United tertarik selepas cubaan pertama mereka pada jendela perpindahan Januari lalu gagal. – AGENSI