LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui tidak memandang mudah cabaran yang mampu diberikan Manchester United ketika kedua-dua pasukan bakal berentap di Anfield awal pagi esok.
Biarpun jurang kualiti pasukan yang dilihat lebih memihak kepada Liverpool ketika ini, pengurus dari Jerman itu tidak mahu peluang mereka untuk memintas Manchester City dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini lebur.
Menurut Klopp, United masih sebuah pasukan yang sukar untuk ditentang terutama ketika ini mereka sedang berusaha sedaya upaya untuk menamatkan saingan di kelompok empat pasukan teratas.
“Kami mengharungi perlawanan menentang City dengan penuh kesukaran dan berintensiti tinggi. Kemudiannya kami akan berdepan United yang turut meraih tiga mata (menang 3-2 ke atas Norwich City).
“Sudah pasti keputusan itu menjadikan persaingan untuk merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara masih lagi terbuka buat tiga pasukan (United, Tottenham Hotspur dan Arsenal).
“Jadi, kami perlu lebih berhati-hati kerana ini bukanlah perlawanan persahabatan. Ia perlawanan yang penting buat mereka dan juga untuk kami,” katanya.
The Reds yang berjaya menjuarai Piala Liga Inggeris sedang mengharungi detik terbaik apabila masih lagi kekal dalam persaingan untuk menamatkan musim dengan kejayaan quadruple.
Selain memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liverpool kini bakal menentang Chelsea di pentas final Piala FA dan kini dijadualkan menentang Villarreal di pentas separuh akhir Liga Juara-Juara.
“Kamu tidak akan dapat jawapan itu daripada saya,” kata Klopp ketika ditanya mengenai peluang untuk melengkapkan kejayaan quadruple. – AGENSI