Tiap kali menjelangnya Ramadan, bazar tumbuh merata di banyak lokasi, lebih-lebih lagi ketika negara memasuki fasa peralihan endemik yang mana rakyat bebas untuk bergerak termasuk menjalankan aktiviti perniagaan di bazar.
Apa yang menariknya, di bazar Ramadan, kita boleh mencari juadah yang pelik-pelik dan istimewa yang sukar diperoleh pada hari biasa melainkan bulan puasa.
Namun, ramai yang mengadu apabila harga juadah yang dijual di kebanyakan bazar kali ini melambung tinggi dan tak masuk akal. Bahasa mudahnya harga terlalu ‘kayangan’, sedangkan rasanya jauh tak berkualiti.
Sehari dua ini, isu harga sudah ‘senyap’, kini kecoh pula berkenaan penemuan ulat dalam mi tonggek yang dilaporkan di sebuah bazar di Putrajaya dan gumpalan rambut dalam kuih limas di Ipoh, Perak.
Tak boleh nak bayangkan bagaimana ia boleh berada di dalam makanan tersebut. Adakah peniaga itu disabotaj pihak tertentu? atau angkara kecuaian peniaga itu sendiri dalam memastikan makanan yang dijual dalam keadaan bersih.
Jika benar ia berpunca daripada kecuaian, tergamaknya peniaga tersebut berbuat demikian. Di mana rasa empati dan juga tanggungjawab dalam menjalankan perniagaan yang sudah tentu menjadi sumber pendapatannya.
Insiden itu benar-benar mengejutkan rakyat negara ini dan tak kurang juga yang trauma hingga ada yang membuat keputusan enggan lagi ke bazar kerana khuatir insiden sama berulang.
Susulan insiden tersebut, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sudah mengarahkan gerai yang menjual mi tonggek di bazar ramadan itu ditutup.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan penguatkuasaan diambil selepas BKKM menjalankan siasatan dan arahan penutupan itu mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
“Kompaun juga dikeluarkan ke atas seorang pekerja kerana tidak mengambil suntikan antitifoid. Tiga sampel telah diambil di gerai terbabit bagi tujuan analisis mikroorganisma dan bendasing,” ujarnya.
Jelasnya, KKM akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat mengenai pengendalian keselamatan makanan.
Berkenaan kes gumpalan rambut dalam kuih limas pula, Dr. Noor Hisham memaklumkan, KKM telah membuka kertas siasatan terhadap pengeluar kuih limas bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.
Pada masa sama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga memberi amaran kepada peniaga makanan di bazar Ramadan agar memastikan makanan mereka selamat untuk dimakan atau berdepan tindakan tegas.
Jelas beliau, pihaknya telah mengarahkan BBKM di bawah KKM untuk meningkatkan penguatkuasaan.
“Peniaga yang gagal mematuhi garis panduan keselamatan makanan dan minuman serta kebersihan diri akan diarah menutup operasi mereka,” katanya.
Secara kesimpulannya, tindakan tegas harus dilakukan dengan memberikan hukuman setimpal terhadap peniaga yang cuai dan memandang enteng isu kebersihan makanan. Jika berlaku keracunan makanan, pasti nyawa kita berdepan risiko.
Buat para peniaga, berilah perhatian kepada aspek kebersihan dan juga mutu serta kualiti makanan jika mahu berniaga lebih lama, barulah berkat rezekinya.
Kepada orang ramai pula, buatlah pilihan yang bijak dengan mengambil kira soal harga dan kebersihan ketika membeli juadah, jangan kejar ‘makanan viral’ semata-mata kerana ia tak selalunya menjamin sesuatu makananan itu berkualiti dan sedap rasanya.