PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena sambutan Aidilfitri bermula 29 April ini hingga 8 Mei depan.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, seramai 2,200 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terlibat secara langsung dalam Ops itu.
Beliau berkata, operasi itu akan turut disertai agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan lain serta syarikat-syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kami mengambil inisiatif untuk terus komited bagi melaksanakan kempen ini dengan mengekalkan tema yang sama iaitu Pandu Cepat, Sampai Selamat.
“Kempen kali ini berpaksikan empat teras utama iaitu pendidikan dan advokasi, penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan serta penilaian,” katanya ketika berucap melancarkan kempen berkenaan hari ini.
Katanya, lima kesalahan lalu lintas utama dikenal pasti sepanjang kempen itu iaitu memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal patuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan. – KOSMO! ONLINE.