JOHOR BAHRU – Ibu kepada empat anak kini buntu apabila hilang punca pendapatan bagi menyara keluarga selain memastikan anak-anaknya mampu meneruskan pembelajaran walaupun hidup dalam serba kedaifan.
Keadaan rumah yang didiami Nur Rizan Aman, 46, bersama anak-anaknya di Kampung Melayu Majidee di sini, sangat daif dengan keadaan bumbung bocor dan hampir roboh.
Rumah itu juga hanya ditutup dengan kain dan plastik selain tiada bekalan elektrik.
Ketika dikunjungi, anak kedua, Siti Aisyah Mohamad Zamri, 19, iaitu pelajar Central for Foundation Studies International Islamic Universiti Malaysia, Gambang, Pahang sedang tekun mengulang kaji pelajaran dalam bilik yang sempit dan gelap.
Melihatkan kesusahan yang dialami anaknya, Nur Rizan bertekad untuk mencari sebarang pekerjaan.
Katanya, dua anak lelakinya iaitu Muhammad Afiq Daniel, 15, dan Muhammad Syafiq Haziq, 14, pula silih ganti berkongsi baju sekolah yang sama untuk hadir ke sekolah dan berjalan kaki sejauh 2.2 kilometer.
“Saya hilang pekerjaan sejak awal tahun ini selepas motosikal rosak. Sebelum ini saya bekerja di kedai makan selain membantu kawan membuat kuih dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan.
“Namun, selepas tiada kerja, saya hanya bergantung kepada bantuan sara hidup Majlis Agama Islam Negeri Johor sejumlah RM400 sebulan,” katanya.
Nur Rizan berkata, dia mempunyai komplikasi jantung dan kadangkala diserang sesak nafas, manakala anak sulung, Siti Aminah, 21, pula mengalami masalah saraf sejak lahir.
Sementara itu, Siti Aisyah memberitahu, dia pernah tidak mengambil peperiksaan gara-gara komputer riba yang dihadiahkan ibu saudaranya rosak.
“Buat masa ini, saya hanya mengikuti pengajian dan melakukan tugasan menggunakan telefon bimbit. Ada masanya saya terpaksa menumpang belajar di rumah jiran,” ujarnya.
Simpati dengan nasib mereka, Econsave Cash and Carry menghulurkan barangan keperluan dan makanan bernilai RM1,000.
Sumbangan boleh dilakukan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Nur Rizan iaitu 0115641000127623 atau menghubungi Siti Aisyah di talian 010-2713929.