MEDIA Mulia Sdn. Bhd., Beras Era, keluaran syarikat Era Foods MY dan jenama makanan sejuk beku terkemuka, EB Frozen Food Sdn. Bhd. (EB) telah menjalin kerjasama untuk menambahkan keceriaan kepada umat Islam sempena bulan Ramadan kali ini dengan menganjurkan program Kongsi Berkat Bubur Lambuk.
Melalui program tersebut, ketiga-tiga syarikat berkenaan mengagihkan bubur lambuk dan produk masing-masing kepada penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Pengurus Jualan Beras Era (Kelantan & Terengganu), Ting Kuan Leong berkata, pihaknya mengagihkan sebanyak 4,000 pek bungkusan bubur lambuk percuma secara keseluruhan.
Katanya, sepanjang program itu juga, pihaknya turut menyumbangkan 4,000 pek beras Era jenis Basmathi Sultan.
“Bubur lambuk tersebut dimasak menggunakan beras Era jenis Nagasari Super Spesial Tempatan.
“Rasa bubur lambuk yang disediakan dan diedarkan secara percuma itu lebih enak dengan penggunaan beras tersebut.
“Ia memberi peluang kepada penduduk setempat untuk merasai sendiri keenakan beras keluaran Era yang berkualiti dan menetapi selera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengedarkan bubur lambuk tersebut di pekarangan Masjid Abidin di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Selepas Masjid Abidin, program Kongsi Berkat Bubur Lambuk bersama Beras Era akan menjelajah Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 20 April ini sebelum ke Masjid Sultan Iskandar, Johor Bahru pada 27 April.
Sebelum ini, program tersebut membuka tirai di Dewan Orang Ramai Kampung Tengah, Seberang Ramai, Kuala Perlis pada 6 April lalu.
Dalam pada itu, Eksekutif Pemasaran EB, Nurul Fatihah Jamil berkata, pada program berkenaan, pihaknya mencipta kelainan dalam penyediaan hidangan bubur lambuk itu.
Katanya, bagi menjadikan rasa bubur lambuk lebih enak, ia digabungkan dengan kerangupan nugget ayam tempura keluaran syarikat berkenaan.
Beritahunya, nugget ayam tempura itu dijadikan sebagai penyeri di dalam bubur lambuk bagi mencipta kelainan, selain memberikan kepelbagaian rasa dalam penyediaan menu tersebut.
“Biasanya, orang ramai menikmati nugget ayam tempura bersama sos, tetapi pada kali ini, kami mahu mereka merasai kelazatannya bersama hidangan bubur lambuk.
“Gabungan rasa itu secara tidak langsung memberi terjemahan baharu terhadap nugget ayam tempura.
“Ia sebenarnya boleh dipadankan dengan apa juga hidangan yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Masjid Mua’dz Bin Jabal di Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercakap mengenai Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk tersebut, Nurul Fatihah berkata, pihaknya akan menyantuni tiga buah lagi masjid.
Katanya, masing-masing melibatkan dua di Kuala Lumpur dan sebuah lagi di Johor.
“Jelajah kami diteruskan ke Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda pada 18 April dan Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur (25 April).
“Seterusnya yang terakhir di Masjid Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor (28 April),” ujarnya.
Sepanjang bulan Ramadan ini, EB akan mengedarkan sebanyak 6,000 pek cenderahati mengandungi bubur lambuk, nugget ayam goreng tempura serta gegelung kacang soya kepada orang ramai.