PEJAM celik, sudah hampir tiga tahun kehidupan pelakon Farah Ahmad seolah-olah ‘kosong’. Pemergiaan suami tercinta, pengarah filem Pitt Hanif meninggal dunia pada Oktober 2019 benar-benar berbekas dalam hidupnya.
Dalam kejadian yang tersebut, Pitt atau nama sebenarnya Firdaus Haniff yang berusia 43 tahun ketika itu lemas akibat terjatuh dari bot sewaktu sedang memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang.
Mendepani hidup membesarkan tiga permata hatinya, Dhia Farhana, 19, Mhia Farhana, 16, dan Thia Farhana, 10, seorang diri cukup membuatkan wanita itu ampuh dengan sisa semangat tinggalan arwah suami.
Farah, 45, ketika ditemui pada majlis jamuan berbuka puasa anjuran Jalinan Iftar bersama Pertubuhan Pendidikan dan Kebajikan Cahaya Kasih di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini berkongsi kisah hati selepas bertahun pemergian suami.
Tak pernah meraih simpati dengan nasib yang menimpa diri, pelakon filem Roh itu bahagia dan bersyukur kerana dikelilingi rakan serta keluarga yang sangat banyak memberinya sokongan selama ini.
KOSMO!: Sudah tiga tahun tanpa Pitt, ada sebarang kelainan sepanjang Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang buat Farah sekeluarga tahun ini?
FARAH AHMAD: Ini soalan sama yang diajukan kepada saya setiap tahun. Jawapan saya dan anak-anak, kami saja saja. Apa yang kami rasa sejak ketiadaan suami, sama saja.
Sebab masing-masing dah tetapkan dalam fikiran, yang tiada hanyalah jasad dia. Tetapi segala kenangan, pesanan dan apa yang dia ajar pada isteri serta anak-anak, tetap tersemat dalam diri. Jadi kami tak pernah rasa dia tiada.
Setiap kali menjelang bulan istimewa seperti Ramadan dan Syawal, pasti ada kekosongan menjentik hati anda?
Sudah tentu terjentik. Contoh macam hari raya pertama, kadang-kadang, kami pakai baju raya arwah. Tetapi sebenarnya tak payah tunggu hari raya pun. Selalu saja saya terjentik lebih-lebih lagi kalau saya penat sangat.
Sebelum sampai rumah, saya bercakap dengan dia di dalam kereta. Tetapi semua perasaan itu dilepaskan sebelum masuk ke rumah.
Anak-anak pun ada cara sendiri untuk selesaikan situasi sebegini. Contoh macam anak sulung saya.
Kalau teringat ayahnya, dia akan pukul dinding. Masing-masing ada cara sendiri. Tetapi bagi saya, tak salah pun sebab itu cara mereka nak sembuhkan diri.
Berbunyi klise tetapi bagaimana cara anda kuat menempuh hidup sebagai ibu tunggal bersama anak-anak?
Alhamdulillah, sistem sokongan saya sangat kuat. Saya sangat bersyukur ada kawan-kawan dan ahli keluarga yang ramai. Malah saya ada pengikut media sosial yang beri aura positif.
Ada juga antara mereka yang tanya bagaimana cara saya kawal perasaan dan keadaan selepas pemergian suami.
Jadi secara tak langsung, keadaan itu wujudkan motivasi dua hala antara saya dan pengikut.
Lagipun, macam mana saya nak suruh anak-anak kuat dan sabar kalau diri sendiri tak kuat. Jadi saya kena ubah diri sendiri dulu dan teruskan hidup.
Baiklah, boleh kongsikan perkembangan terkini sepanjang Ramadan ini?
Saya masih bekerja pada Ramadan tetapi kurangkan sedikit berbanding bulan-bulan sebelum ini. Saya baru habis penggambaran sebuah drama raya berjudul Ombak Berbisik arahan Rashid Sibir. Ada sebuah telefilem, iklan dan filem pendek selepas ini. Lain-lain saya banyak terlibat dengan kerja kebajikan.
Bagaimana anda bahagikan masa antara kerja dan uruskan keluarga sejak ketiadaan suami?
Kehidupan saya bukan hanya lakonan tetapi ada kerja seni yang diusahakan. Bila tiada penggambaran, saya fokus kerja seni. Pada masa sama, buat kelas lakonan dan bantu ibu mentua, Fauziah Nawi memandangkan dia semakin berusia. Sekarang anak-anak dah bersekolah semula dan tiada lagi penggiliran siapa jadi ‘supir’ macam waktu arwah ada.
Semua kena lakukan sendiri. Tapi saya bersyukur, Tuhan atur rezeki dengan baik. Kalau tak ada kerja ‘shooting’, bukan fikir sebab orang tak nak ambil saya berlakon. Tetapi sebab Tuhan tahu kemampuan diri pada tahap mana untuk bahagikan masa.