fbpx

Kes kematian Covid-19 lebih tinggi pada hujung minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jumlah kematian global akibat Covid-19 adalah 6 peratus lebih tinggi pada hujung minggu. - See News

TORONTO, Kanada – Satu kajian terbaharu mendedahkan bahawa kematian disebabkan Covid-19 adalah lebih tinggi semasa hujung minggu berbanding hari biasa, lapor stesen penyiaran Sky News.

Pakar dari Universiti Toronto menganalisis semua kematian yang dilaporkan kepada pangkalan data Covid-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) antara 7 Mac 2020 hingga 7 Mac 2022.

Para penyelidik berkata, jumlah purata kematian global akibat koronavirus adalah enam peratus lebih tinggi pada hujung minggu berbanding hari bekerja dengan angka 8,532 berbanding 8,083 sepanjang tempoh tersebut.

Penemuan itu yang akan dibentangkan pada acara Kongres Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit Eropah (ECCMID) di Portugal akhir bulan ini, mencadangkan Britain mempunyai purata 239 kematian hujung minggu berbanding 215 pada hari bekerja iaitu peningkatan sebanyak 11 peratus.

Amerika Syarikat (AS) mempunyai purata 1,483 kematian hujung minggu berbanding 1,220 pada hari bekerja, peningkatan sebanyak 22 peratus. Brazil pula mempunyai purata 1,061 kematian hujung minggu berbanding 823 pada hari bekerja, melonjak sebanyak 29 peratus.

Salah seorang penyelidik, Dr. Fizza Manzoor berkata, kelewatan dalam melaporkan kematian pada hujung minggu tidak mengambil kira sepenuhnya perbezaan di negara tertentu seperti Jerman yang melaporkan lebih sedikit kematian purata pada hujung minggu (137) berbanding hari bekerja (187).

“Kelewatan laporan birokrasi pada hujung minggu tidak cukup untuk menjelaskan mengapa terdapat  sedikit kematian Covid-19 yang didokumenkan pada hari Isnin berbanding dengan hari Jumaat dan tidak dapat menjelaskan mengapa peningkatan kematian hujung minggu begitu ketara di AS dan tidak dilihat di Jerman.

“Sebaliknya, ‘kesan hujung minggu’ juga berkemungkinan disebabkan oleh kekurangan kakitangan klinikal, kapasiti dan pengalaman. Lebih-lebih lagi, penemuan kami menunjukkan bahawa masalah ini tidak dapat diselesaikan walaupun prestasi dan kesedaran sistem kesihatan bertambah baik sepanjang tempoh tersebut,” jelas Fizza.

Para penyelidik menambah bahawa kesimpulan kepada kajian ini adalah mungkin dihadkan oleh keputusan negatif palsu, kes yang tidak dijawab ralat kemasukan data dan bahawa data yang tersedia tidak mengambil kira keseriusan penyakit dan campur tangan kesihatan awam di negara individu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI