POPULARITI drama Forecasting Love and Weather siaran JTBC tidak hanya mempopularkan dua pelakon utamanya, Song Kang dan Park Min-young.
Naskhah tersebut bagaimanapun turut membuatkan pasangan pelakon kedua utama, Yoon Bak dan Yura (Girl’s Day) mendapat perhatian menerusi watak sebagai lelaki curang dan wanita perampas.
Bercakap mengenai keberadaan dalam drama tersebut, Yoon Bak mendedahkan awalnya, dia pernah menolak tawaran membintangi naskhah berkenaan atas alasan tertentu.
Yoon Bak memegang watak sebagai Han Ki-joon yang curang terhadap tunangnya Jin Ha-kyung (Min-young) mengakui karakter tersebut langsung tidak sama dengan keperibadiannya yang sebenar.
“Sejujurnya saya langsung tak boleh kaitkan diri sendiri dengan dia (Ki-joon). Ketika membaca skrip, saya langsung tak dapat memahami perbuatan atau apa yang difikirkannya, sangat memberi cabaran buat saya,” katanya.
Yoon Bak bagaimanapun bersetuju menerima tawaran menjadi lelaki curang selepas dipujuk oleh pengarah.
“Dia kata, watak jahat Ki-joon akan buatkan orang benci diri sebenar saya, sekali gus menunjukkan sisi baharunya dalam lakonan.
“Saya boleh katakan perkara paling ‘bahaya’ yang pernah saya potretkan sebagai Ki-joon adalah ketika mengejar bekas tunangnya sehingga ke rumah dan menangis-nangis. Itu sangat memalukan dan menyedihkan,” katanya lagi.