ZURICH, Switzerland – Gara-gara terlalu obses dengan warna merah jambu, seorang guru wanita menggunakan rona warna itu menghiasi segenap ruang pada kediamannya, lapor sebuah laman berita.
Menurut wanita itu, Yasmin Charlotte, 32, dia sangat gemar dengan rona warna merah jambu sejak kecil dan menjadi semakin obses ketika menginjak usia remaja.
“Kira-kira 13 tahun lalu, saya memilih untuk menggunakan semua benda termasuk dekorasi dalam rumah, pakaian dan aksesori berwarna merah jambu.
“Kegilaan terhadap warna merah jambu membuatkan saya menjadi perhatian ramai pihak hingga ada yang menganggap saya mempunyai masalah mental,” katanya.
Tidak pernah bosan dengan warna tersebut, Charlotte turut mempunyai lebih daripada 100 pasang koleksi kasut berwarna merah jambu.
Ujar Charlotte lagi, keluarga dan rakan-rakannya turut menyokong minatnya terhadap warna merah jambu sehingga dia digelar ‘Miss Pink’.
Kebanyakan koleksi pakaian wanita itu dibeli secara online, selain turut dijahit sendiri memandangkan Charlotte pernah bertugas sebagai seorang pereka imej sebelum bergelar guru sekolah. – Agensi