TURIN – Usaha keras yang dilakukan Juventus untuk terus berada dalam landasan perebutan kejuaraan Scudetto musim ini berakhir selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Bologna pada aksi Serie A awal pagi semalam.
Keputusan di Stadium Juventus itu menyaksikan The Old Lady yang kini menghuni tangga keempat, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, AC Milan dengan baki lima perlawanan sahaja lagi.
Ketua Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri enggan menyalahkan anak-anak buahnya biarpun gagal menewaskan Bologna yang kehilangan dua pemain, Adama Soumaoro dan Gary Medel disebabkan layangan kad merah.
“Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak dan Juventus tidak lagi bersaing merebut Scudetto pada tahun ini. Paling penting adalah menamatkan saingan di tempat keempat.
“Sejak kebelakangan ini kami melepaskan banyak gol dan ia perlu diperbaiki. Saya tidak mahu mencari salah pemain kerana kami juga berjaya meraih sesuatu dalam aksi ini,” katanya.
Juventus ketinggalan kepada Bologna menerusi Marko Arnautovic pada minit ke-52 sebelum pihak lawan dikejutkan dengan keputusan kontroversi pengadil melayangkan kad merah kepada Soumaoro dan Medel.
Kesempatan itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh Juventus yang terpaksa menunggu sehingga minit ke-95 untuk meraih gol penyamaan melalui Dusan Vlahovic.
Kini, harapan terakhir Juventus untuk memenangi sekurang-kurangnya satu trofi musim ini adalah saingan Piala Itali apabila bakal menentang Fiorentina menjelang aksi separuh akhir kedua Khamis ini. – AGENSI