PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstrem oleh seorang pemimpin parti politik di Sweden yang membakar senaskhah al-Quran kelmarin.
Menurut kenyataan Wisma Putra, perbuatan keji sedemikian telah melampaui batasan dan garis norma hak kebebasan bersuara termasuk dalam isu pelaksanaan amalan beragama.
“Tindakan tersebut merupakan suatu usaha provokasi dan berniat menghasut kebencian yang mesti ditolak oleh semua pihak yang ingin hidup bersama dalam budaya damai,” katanya.
Media antarabangsa semalam melaporkan aksi pemimpin parti Stram Kurs berhaluan kanan anti-Islam, Rasmus Paludan bertindak biadab membakar kitab suci itu di bandar Linkoping.
Beliau malah dengan angkuh tidak menghiraukan bantahan sekumpulan 200 orang awam dari pelbagai agama yang mendesak pihak polis tempatan agar menghentikan perlakuan itu.
Pemimpin kelahiran Denmark yang berusia 40 tahun itu pernah mencetuskan kemarahan umat Islam apabila membakar al-Quran di Malmo, sebuah kota di selatan Sweden pada 2020.
Peguam hak asasi manusia yang progerakan gender songsang itu juga pernah mencampak kitab suci tersebut ketika demonstrasi jalanan di ibu kota Denmark, Copenhagen pada 2018.
Parti diasaskan tokoh ini pada 2017 lalu itu amat dikenali kerana pendirian tegar anti golongan imigran terutama pendatang Muslim profesional yang banyak memajukan ekonomi Sweden. – KOSMO! ONLINE