BARU mencecah usia 16 tahun, namun penyanyi muda, Zaki Yamani tampak matang berbicara berbanding usianya yang agak muda.
Bicara anak kedua Raja Pop Datuk Jamal Abdillah itu kian rancak tatkala menyentuh perihal perniagaan sebagai rezeki tambahan untuk kelangsungan hidup bersama ibu tercinta, wanita berstatus ibu tunggal sejak dirinya masih terlalu kecil.
Biarpun riaknya teruja menyentuh kehidupan indah dilalui bersama ibu, seiring kerjaya seni yang semakin menyerlah, jauh di sudut hati, remaja itu tetap merindui momen bersama bapa.
Kesayuan semakin menjolok tangkai naluri sementelah Aidilfitri kian mendekat. Zaki mengakui terkenangkan detik meraikan hari istimewa dengan insan lelaki yang dihormatinya, seorang bapa yang digelar babah.
Syawal diingati
Bukan hendak menambahkan bara berhubung isu mereka yang hangat diperkatakan baru-baru ini, akui Zaki, memang benar kali terakhir menyambut hari raya bersama bapa sekitar lapan tahun lalu.
“Masa kecil dahulu, memang saya selalu jumpa babah (panggilan untuk Jamal), cuma selepas itu kami semakin jarang menghabiskan masa bersama-sama.
“Seingat saya, kali terakhir dapat menyambut Syawal dengan babah adalah ketika saya berumur sembilan tahun iaitu sekitar tahun 2015.
“Sebenarnya, semasa saya dalam umur tujuh atau lapan tahun, memang kami sangat rapat selain kerap berjumpa walaupun babah dan mommy sudah berpisah lama.
“Kemudian kekerapan itu semakin berkurang. Mungkin sebab babah sudah bertambah sibuk dengan kerja dan keluarga sendiri,” kata Zaki dengan perlahan.
Memahami situasi
Begitupun sebagai anak, Zaki enggan melihat situasi berkenaan dari sudut negatif, sebaliknya percaya semua yang berlaku disebabkan hambatan masa dan keadaan.
Dia bahkan tidak sedikit pun mempersoalkan ketiadaan figura seorang bapa pada saat sedang membesar kerana mempunyai ibu yang berusaha menyempurnakan segala keperluan buat dirinya.
Kematangan membolehkan pemilik nama sebenar Ahmad Zaki Yamani itu juga semakin memahami tanggungjawab sang bapa yang kini semakin bertambah.
Katanya, mempunyai ibu yang sentiasa menyuntik semangat supaya terus cekal menggapai impian dan sentiasa di sisi pada ketika diri diulit gundah cukup sebagai kekuatan untuk melangkah dengan berani.
“Mommy adalah segala-galanya bagi saya, malah dari segi hubungan dengan babah pun dia tidak pernah menghalang, sebaliknya memberi kebebasan, situasinya sama ketika saya menunjukkan bakat dalam arena nyanyian.
“Dia sebagai pencetus inspirasi yang sentiasa percaya dengan kebolehan saya, pada masa sama menjadi tempat rujukan sesuatu perkara” tambah penuntut tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Kajang, Selangor itu.
Untuk yang baru mengenali susuk tampan itu, Zaki merupakan anak Jamal dengan bekas isteri daripada perkahwinan ketiganya, Fatimatuzahra Samat.
Selain Zaki, penghibur kesayangan ramai itu dikurniakan empat lagi cahaya mata termasuk tiga anak kecil daripada perkahwinannya dengan Datin Zai Izzati Khiruddin, 27.
Mereka ialah Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Oktober 2019 disusuli El Issac Yamani setahun kemudian dan Iskandar Rayyan Yamani, dua bulan.
Osama Yamani yang juga putera sulung penyanyi itu dengan bekas isteri daripada perkahwinan keduanya, Noraina Mohd Yusof pula sudah berusia 21 tahun.
Terima ketentuan
Tidak menyalahkan sesiapa atas ketentuan Ilahi yang dilalui kini, luah Zaki lagi, sesekali dia dan bapanya tetap berhubung. Mereka juga baru menyiapkan lagu bersama pada akhir tahun lalu.
Turut bersama dalam rakaman istimewa berjudul Tangan Yang Melambai tersebut adalah abangnya, Osama.
Jika tiada aral kata Zaki, mereka bertiga dijadualkan menyempurnakan pembikinan video muzik tidak lama lagi.
“Paling terkini, kami berbalas mesej beberapa hari menjelang Ramadan.
“Kami ada bertemu pada November tahun lalu di studio bagi sesi merakamkan. Cuma untuk pergi sendiri berjumpa dengan babah tanpa sebab tertentu mungkin tidak.
“Bergantung juga kepada kesediaan babah. Bagi saya tak mengapa pun kalau tak dapat berjumpa.
“Bukan saya yang menjauh, tapi macam saya cakap tadi, dia mungkin sibuk sebab kadang kala mesej WhatsApp pun cuma ‘blue tick’ saja.
“Kalau saya punya lesen kereta, sudah lama saya ke tempatnya,” luahnya tanpa berselindung.
Akrab dengan Osama
Sementara itu, remaja tinggi lampai tersebut mengakui hubungan bersama Osama sangat akrab biarpun tidak membesar bersama.
“Apa pun, hubungan saya lebih rapat dengan abang (Osama). Sepanjang fasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami memang susah nak jumpa tapi kami selalu bermesej.
“Kiranya banyak perkara saya kongsikan dengannya, terutama membabitkan nyanyian dan muzik memandangkan kami punya minat yang sama.
“Sebagai abang, dia sangat mengambil berat keadaan saya dengan bertanya khabar.
“Jarak umur kami pun tak jauh, itu antara sebab boleh ‘ngam’,” jelas Zaki lagi.
Hargai setiap sen
Enggan perbualan larut dalam lara, topik perbualan beralih kepada gerai makanan dan minuman Ngopi Dulu Yop yang dibuka sejak akhir tahun lalu bermodalkan wang hasil nyanyian dibantu duit simpanan ibunya.
Tidak sedikit keringat dan air mata tumpah bagi memastikan perniagaan kecil yang menjadi lambang kesungguhan semangatnya dapat beroperasi seperti diimpikan.
Biar hanya kecil-kecilan, selain segala-galanya diusahakan sendiri, pengalaman mahal itu membuatkan Zaki menghargai setiap sen yang diperoleh.
“Awal dahulu memang cuma saya dan mommy saja yang usahakan gerai ini. Dari buka kedai, beli stok, bancuh air sampai ambil pesanan pelanggan kami buat bersama-sama.
“Baru sekarang dapat upah pekerja terutama kalau saya terbabit dengan persembahan sebab saya mahu kedai ini beroperasi seperti biasa walaupun ketika saya ada komitmen lain.
“Semua hasil jualan harian akan diserahkan kepada mommy untuk disimpan.
“Bagi saya cara sebegitu lebih bagus sebab saya seorang yang agak boros dan kaki ‘shopping’. Pantang tengok kasut yang saya berkenan,” tambahnya.
Sibuk menguruskan kedai dan pada masa sama mendalami selok belok perniagaan, Zaki mengakui tetap meletakkan bidang nyanyian di tempat utama.
Sedar masih terlalu hijau dan masih terlalu jauh perjalanan yang bakal ditempuhi, Zaki enggan terlalu selesa. Dia tidak lokek mengeluarkan belanja untuk memasuki kelas vokal demi memantapkan nyanyiannya.
“Banyak yang perlu saya pelajari sama ada dari segi vokal, persembahan mahu pun penampilan supaya dapat kekal lama, bukan asal boleh saja.
“Jadi untuk ke arah menjadi penghibur versatil, saya kena berkorban dan meluangkan masa belajar dari bawah. Ini juga sebagai pelaburan masa depan,” kongsi penyanyi lagu Percayaku itu.