WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dijangka bertemu dengan pemimpin negara-negara Asia Tenggara dalam sidang kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung pertengahan Mei ini, lapor akhbar Bangkok Post, semalam.
Tujuan utama pertemuan secara itu berkemungkinan memfokuskan kepada peningkatan kuasa China.
Persidangan itu sebelum ini ditetapkan pada 28 dan 29 Mac, sebelum ditangguhkan tanpa tarikh baharu dan kini, ia disahkan akan berlangsung pada 12 dan 13 Mei depan.
“Sidang kemuncak yang pada asalnya dijadualkan pada Mac lalu akan menunjukkan komitmen berterusan AS kepada ASEAN.
“Adalah menjadi keutamaan bagi Pentadbiran Biden-Harris untuk berkhidmat sebagai rakan kongsi yang kukuh dan boleh dipercayai di Asia Tenggara,” kata Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki.
AS dalam kenyataan terdahulu sering menyebut bahawa pengukuhan hubungan dengan negara Asia adalah keutamaan dasar luar Washington.
Ketika pertemuan Biden dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong baru-baru ini, beliau mahu memastikan rantau itu kekal bebas dan terbuka.
Ia merujuk kepada apa yang didakwa AS sebagai percubaan meningkatkan kuasa dari China untuk menguasai laluan perdagangan antarabangsa.
Anggota ASEAN adalah termasuk Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Kenyataan AS bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada pemimpin Myanmar akan hadir.
Pentadbiran Biden sebelum ini telah menuduh pemimpin junta tentera negara itu melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap minoriti Rohingya. – Agensi