fbpx

Beli baju raya baharu atau pakai yang lama?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN/RAJA JAAFAR ALI

PUTARAN waktu terasa begitu pantas, tanpa disedari sudah separuh bulan ibadah puasa dilunas. Menjadi lumrah, memasuki pertengahan Ramadan, ramai yang sudah mula berkira-kira membuat persiapan meraikan Syawal.

Apatah lagi sambutan Aidilfitri tahun ini yang dilihat ‘istimewa’ bagi ramai rakyat Malaysia. Maklumlah, sudah dua tahun tidak beraya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun ini harapan untuk balik kampung dan beraya bersama sanak saudara tampak cerah ekoran negara memasuki fasa peralihan endemik.

Seorang rakan penulis bahkan menganggap raya tahun ini, memang tidak sah kalau tidak beli baju raya baharu kerana katanya, hendak balas dendam dua kali raya dalam PKP.

Namun, kala suasana ekonomi yang tidak menentu ini ada juga yang sedang dalam dilema hendak membeli baju raya baharu atau pakai sahaja baju raya lama. Tidak beli baharu terasa ralat kerana sudah ‘agak lama’ tidak beraya, pakai yang lama pula boleh berjimat.

“Orang lain sibuk beli baju raya, sedangkan aku semangat raya belum ada dan masih fikir nak beli baju baharu ke atau pakai baju lama,” ciap seorang netizen di Twitter. Apapun, semua bergantung kepada diri sendiri. Hendak pakai baju raya yang lama pun boleh juga, apatah lagi baju-baju raya tahun 2020 atau 2021 yang boleh dianggap baharu kerana belum sakan dipakai.

Menurut laman Get Set Clean, ada beberapa tip boleh dilakukan bagi menaikkan semula seri baju lama yang kusam. Antaranya, cuci pakaian dengan menterbalikkannya dan masukkan secawan cuka ke dalam cucian. Bolehlah kita cuba.

Mungkin ada sesetengah orang yang langsung tidak mempedulikan penampilan pada hari raya dengan merasakan ia sama saja dengan hari-hari biasa, ketahuilah itu sebenarnya satu tanggapan yang salah.

Berpakaian bagus dan berhias pada hari raya bukan sekadar tradisi, bahkan suatu yang digalakkan. Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam mengenakan pakaian terbaik yang dimiliki pada hari raya.

Diriwayatkan daripada Al-Hasan bin Ali RA: ‘Rasulullah SAW telah memerintahkan kami pada dua hari raya agar memakai pakaian terbaik yang kami temukan.” Bahkan, sesetengah ulama mentafsirkan baju terbaik itu ialah baju baharu seperti mana ditafsirkan pakar fiqah Syekh Ahmad Ghunaim An-Nafawi. Bayan Linnas Siri ke-23 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menyatakan memakai pakaian baharu sebagai salah satu adab berhari raya.

Namun, bukanlah memakai pakaian baharu itu suatu kewajipan, sebaliknya kita seharusnya memakai pakaian terbaik yang dimiliki berlandaskan niat memuliakan hari raya. Jika tidak ada baju baharu, boleh mengenakan baju yang lama, namun tetap pilihan yang terbaik sebagaimana yang diriwayatkan Al-Hakim.

“Kami diperintahkan oleh Rasulullah pada dua hari raya untuk memakai pakaian terbaik yang kami ada dan berwangi-wangian sebaiknya daripada apa yang ada.”

Hal yang salah ialah jika kita berlebihan dalam menyediakan dan membeli pakaian raya sehingga membazir dan berpakaian dengan niat menunjuk-nunjuk. Lagipun, berpakaian terbaik dianjurkan itu cuma pada 1 Syawal, bukannya sepanjang Syawal. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI