fbpx

Petting zoo terbesar di Malaysia jadi tarikan terbaharu PATRO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nolee Ashilin (tiga dari kanan) merasmikan PATRO dekat Tanjung Tulang di sini.

Oleh SHAARANI ISMAIL

BATU GAJAH – Petting zoo terbesar di Malaysia akan dibangunkan di Perak Agrotourism Resort (PATRO) dekat Tanjung Tualang di sini yang akan menjadi tarikan utama terbaharu pengunjung.

Pembangunan petting zoo berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan negeri, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan syarikat pengurusan resort berkenaan, Angsana Travel and Tours Sdn Bhd.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pembukaan petting zoo itu nanti akan menjadi pelengkap kepada produk agrotourism di kluster Kampar, Gopeng, Batu Gajah dan Perak Tengah.

“Perak ada kekuatan dalam sektor pelancongan domestik dan produk berasaskan agrotourism sememangnya dicari, diharapkan perkembangan terbaharu PATRO ini akan melengkapkan industri agropelancongan di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan semula PATRO di bawah pengurusan Angsana Travel and Tours di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Angsana Travel and Tours, Mohd Radzuan Abdul Karim.

PATRO sebelum ini ditutup sementara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dan dibuka semula secara rasmi hari ini.

Nolee Ashilin berkata, sempena pembukaan semula, PATRO turut mengumumkan memberikan diskaun harga penginapan sebanyak 50 peratus bagi setiap tempahan yang dibuat sehingga akhir tahun ini.

PATRO yang dimiliki PKPNP dibuka kepada umum sejak 2016 dan dirasmikan sendiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sementara itu, Mohd. Radzuan berkata, Petting zoo berkenaan kini sedang dalam pembinaan di kawasan seluas kira-kira 4 hektar yang membabitkan kos sebanyak RM5 juta dan dijangka dibuka kepada umum awal tahun hadapan.

“Sebelum ini kita memang dah ada mini petting zoo di sini, saya kemudian berbincang dengan Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) untuk idea ini (membina petting zoo yang besar),” katanya.

Katanya, Ahmad Faizal kemudian mencadangkan supaya dibina sahaja petting zoo terbesar di Malaysia kerana PATRO ada kawasan yang luas yang akan meletakkan peta Batu Gajah dan Tanjung Tualang sebagai lokasi tarikan utama dalam negara.

“Petting Zoo terbesar ini dibuat kerana kita mahu orang tahu ia ada disediakan di Perak, supaya orang tahu di Perak ada benda menarik untuk dikunjungi.

“Kalau kita nak tarik pelancong ke sini kena ada satu tarikan yang besar, jadi secara secara tak langsung kita boleh letakkan PATRO sebagai salah satu destinasi utama pelancongan tempatan di Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI