REMBAU – 11 daripada 18 pelajar madrasah yang menaiki sebuah van cedera apabila kenderaan itu terbabit kemalangan di kilometer 16, Jalan Seremban-Tampin, di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, kumpulan pelajar madrasah berkenaan dalam perjalanan pulang ke madrasah yang terletak di Batu Hampar, di sini, setelah selesai aktiviti sempena bulan Ramadan di Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Hazri Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.43 pagi berkenaan, dua pelajar iaitu Muhammad Hatim Hamzah, 13, mengalami kecederaan patah tangan kanan dan Muhammad Al Fateh Ridwan, 16, mengalami kecederaan pada mulut serta gusi.
Menurutnya, kedua-dua pelajar berkenaan menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Rembau, manakala, sembilan pelajar mengalami luka ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Rembau, manakala sembilan pelajar lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bagi pemandu van pula, Muhammad Tamimi Md. Suhot, 26, dia mengalami luka ringan di jari kiri, dan baki tujuh lagi pelajar tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa pemandu bersama 18 pelajar menaiki van jenis Toyota Hiace dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai pemandu telah hilang kawalan dan terbabas ke bahagian kiri jalan akibat mengelak musang yang melintas jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hazri berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE