ISKANDAR PUTERI – Kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana syarikat pengusaha bas ekspres mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tambang secara melampau khususnya menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, apa jua peningkatan sama ada harga atau frekuensi perjalanan perlu dipohon kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum diserahkan kepada pihaknya untuk pertimbangan.
Katanya, Kementerian Pengangkutan kemudian akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya pengguna.
“Kita faham bila musim perayaan biasanya kita izinkan kenaikan harga, tetapi tidaklah kepada satu angka yang bebankan rakyat, ini kerana pada setiap musim perayaan memang amalan biasa kenaikan sehingga 10 peratus daripada harga asal.
“Kita sedar apa yang dilalui syarikat pengusaha bas dan alasan disebalik kenaikan harga itu, tetapi kita juga faham dan bersimpati dan tidak akan membiarkan rakyat terbeban dengan kenaikan harga.
“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan akan buat satu keputusan terbaik untuk melindungi semua pihak termasuk pengguna, perkara ini akan dibincangkan dengan pemegang taruh, itu yang kita lakukan selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menghadiri program berbuka puasa di Forest City Golf Resort, di sini malam ini.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat aduan secara spesifik berhubung kenaikan harga secara melampau dan menyeru masyarakat membuat aduan kepada pihak berwajib sekiranya benar berlaku.
“Masyarakat diminta menyalurkan maklumat dan aduan mereka, kemudian kita akan arahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk buat pemeriksaan dan pemantauan,” ujarnya.
Sementara itu, Ka Siong turut memberitahu pihaknya akan mewartakan larangan bagi kenderaan berat untuk menggunakan jalan raya selama lima hari sempena sambutan Aidilfitri tahun ini dalam masa terdekat.
Menurut beliau, larangan itu dijangka akan mula berkuatkuasa pada 30 April ini sehingga 2 Mei, sebelum disambung pada 7 Mei hingga 8 Mei bertujuan untuk memastikan kelancaran aliran trafik yang akan bertambah dalam tempoh tersebut.
“Saya sudah menandatangani satu warta sama seperti sebelum ini iaitu tiga hari sebelum dan dua hari selepas hari raya. Memang sekiranya diwartakan, semua pemegang permit terutama kenderaan perdagangan tertakluk kepada peraturan diwartakan,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE