LONDON – Pemandu di Britain yang gagal minum air mencukupi semasa memandu untuk perjalanan jarak jauh boleh dikenakan denda sebanyak £1,000 (RM5, 531), lapor akhbar Mirror UK semalam.
Ini kerana kekurangan air dalam badan atau dehidrasi boleh menyebabkan gejala seperti pening dan hilang tumpuan semasa memandu.
Beberapa pakar automotif mengingatkan pemandu boleh didenda £1,000 jika didapati bersalah gagal mengawal kenderaan dengan betul.
Peringatan itu diberikan memandangkan ramai warga Britain merancang untuk bercuti atau melawat keluarga pada hujung minggu ini sempena cuti Hari Easter.
Penyelidikan dari Universiti Loughborough menunjukkan bahawa kesan dehidrasi ringan adalah sama dengan pengambilan alkohol berlebihan semasa memandu.
“Kita biasa memeriksa paras air dan minyak kereta sebelum memulakan perjalanan tetapi berapa ramai yang memeriksa paras air dalam badan sendiri?
“Minum banyak air bukan sahaja akan memberi kesan positif kepada badan tetapi juga akan mengelakkan kemungkinan pening atau hilang tumpuan,” kata seorang pakar automotif berkenaan, Mike Thompson.
Tinjauan oleh sebuah syarikat tempatan mendapati bahawa sekitar tiga daripada lima rakyat Britain tidak menyedari risiko kekurangan air semasa memandu.
Kira-kira 70 peratus kemalangan di jalan raya Britain dipercayai berpunca daripada kesilapan pemandu dengan dehidrasi berpotensi menjadi faktor pelanggaran. – Agensi