PHOENIX, ARIZONA – Seorang lelaki di negeri Arizona, Amerika Syarikat (AS) menghadapi pertuduhan melakukan kekejaman dengan membekukan haiwan yang masih hidup, lapor laman berita Wion News semalam.
Menurut polis daerah Mohave, kira-kira 183 ekor haiwan ditemui dalam keadaan beku termasuk anjing, penyu, cicak, burung, ular, tikus dan arnab.
Suspek iaitu Michael Patrick Turland ditahan Rabu lalu selepas polis menggeledah sebuah kediaman susulan aduan seorang wanita bahawa dia sudah tidak menemui ularnya yang dilepaskan untuk tujuan pembiakan.
Polis memeriksa kediaman Turland di Golden Valley pada 3 April lalu.
“Anggota polis dan kawalan haiwan memasuki kediaman itu dan menemui peti sejuk beku yang mengandungi kira-kira 183 haiwan pelbagai jenis,” kata polis.
Beberapa ekor haiwan didapati dibekukan secara hidup-hidup berdasarkan posisi badannya.
Pemilik kediaman itu berkata, Turland yang berusia 43 tahun telah berpindah ke luar negeri dan meninggalkan peti sejuk beku itu di ddalam garaj.
Polis cuba menghubungi Turland dan isterinya, namun gagal. Bagaimanapun pada Rabu lalu, Turland dilaporkan kembali ke kediaman tersebut.
Dia kemudian ditahan atas 94 pertuduhan melakukan kekejaman terhadap haiwan, kata pejabat sherif. – Agensi