KOTA BHARU – Kerajaan akan terus mengekalkan subsidi haji kepada semua jemaah yang terpilih untuk melaksanakan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini meskipun terdapat cadangan supaya ia dilaksanakan secara bersasar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai formula tertentu yang akan digunakan untuk memberikan subsidi kepada semua jemaah.
Justeru itu, menurutnya, semua jemaah haji di negara ini akan menerima subsidi yang diberi tanpa memilih golongan tertentu.
“Keputusan itu (subsidi) kekal seperti yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini. Sebagai makluman, subsidi haji ini sama sekali tidak melibatkan wang kerajaan.
“Sebaliknya, wang yang digunakan untuk subsidi ini diambil daripada keuntungan pendeposit,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan di sini hari ini.
Berita berkaitan: Kos haji naik RM25,000 tahun ini
Dalam perkembangan lain, jelas Idris, subsidi untuk jemaah menunaikan haji tahun ini akan diumumkan mengikut kuota sebenar yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Katanya, kerajaan memberi jaminan subsidi itu tidak akan membebankan para jemaah.
“Kerajaan juga sudah memohon untuk menambah bilangan kuota haji selain menghantar surat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE